Pemuda MCA Pertahan Dr Akmal, Dakwa DAP Campur Urusan Dalaman UMNO BN

KUALA LUMPUR | 6 Jan 25 — Ketua Penerangan Pemuda MCA merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong, mempersoalkan tindakan DAP yang didakwanya mencampuri urusan dalaman UMNO dan BN susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mengenai cadangan agar BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Dalam satu hantaran video, Neow berkata isu berkenaan sepatutnya dilihat sebagai hal dalaman UMNO dan BN, memandangkan cadangan itu dibangkitkan dalam Konvensyen Pemuda UMNO dan ditujukan kepada kepimpinan parti serta gabungan berkenaan.

“Yang peliknya, ini adalah urusan rumah tangga UMNO dan BN. Tetapi yang melompat menyerang Dr Akmal adalah DAP,” katanya.

Beliau mempersoalkan sikap kepimpinan DAP yang menurutnya bersifat hipokrit dan mengamalkan standard berganda apabila bertindak balas terhadap seruan penyatuan Melayu yang dibangkitkan Dr Akmal.

“Saya nak tanya kepada kepimpinan DAP, sekarang siapa yang sebenarnya mencampuri urusan parti orang lain? Bila orang lain buat, kamu marah dan kata ‘lu siapa’. Tetapi bila kamu pertikaikan dan menyerang tindakan orang lain, kamu rasa itu betul,” katanya.

Neow turut mengingatkan bahawa sebelum ini DAP, termasuk sayap pemudanya, DAPSY, kerap mendesak MCA supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan Barisan Nasional. Justeru, katanya, DAP tidak seharusnya menegur pihak lain atas alasan tidak mencampuri urusan dalaman parti.

“Masa kamu desak MCA keluar kerajaan, kamu tidak pula fikir soal campur tangan. Hari ini kamu kata jangan campur urusan parti kamu,” ujarnya.

Mengulas perkembangan politik di Melaka, Neow menegaskan bahawa kerajaan negeri itu dibentuk oleh BN selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan majoriti dua pertiga, apabila BN meraih 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Hari ini pemimpin DAP menyuruh Akmal dan BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Sedarkah mereka bahawa kerajaan Melaka adalah kerajaan BN?” katanya.

Menurut beliau, DAP sebelum ini sendiri yang memohon untuk menyertai kerajaan negeri Melaka pada Mac 2023, dan kemasukan dua bekas exco daripada Pakatan Harapan (PH) diterima atas dasar ihsan kepimpinan BN ketika itu.

“Sekarang mereka pula menyuruh pemimpin BN keluar daripada kerajaan. Tidakkah itu tindakan yang sombong dan tidak masuk akal?” katanya.

Neow turut mendakwa serangan DAP terhadap Dr Akmal dan BN didorong oleh tekanan politik serta keperluan parti itu untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya akan datang.

“Mereka cuba menampakkan diri berani melawan untuk naikkan sokongan pengundi. Hakikatnya mereka juga terdesak,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin pengundi, termasuk masyarakat Cina, mampu menilai realiti politik semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan.

“Orang Cina bukan bodoh. Mereka boleh menilai dan membuat pilihan yang lebih baik. Yang penting, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan ahli parti, namun DAP melihat gesaan tersebut tidak berasas dan melangkaui bidang kuasanya.

“Ada yang tanya, sekarang Akmal suruh kita keluar daripada Kerajaan Perpaduan. Saya nak tanya lu (Akmal) siapa?. Dalam bab ini yang membuat keputusan ialah Presiden UMNO, bukannya Akmal Saleh. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share