
KUALA LUMPUR | 7 Jan 26 — Dato’ Seri Saifuddin Abdullah mendakwa proses yang dijalankan oleh Lembaga Disiplin (LD) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kes melibatkan dirinya adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip keadilan asasi, susulan keputusan memecat beliau sebagai ahli parti berkenaan.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Saifuddin memaklumkan bahawa beliau menerima notis pemecatan keahlian BERSATU pada 6 Januari 2026, berdasarkan keputusan LD yang menyatakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Namun, menurut beliau, alasan yang diberikan adalah ringkas dan tidak menghuraikan pertimbangan substantif terhadap pembelaan yang telah dikemukakan.
Tambah Saifuddin, antara tuduhan yang dikemukakan termasuk mengeluarkan kenyataan yang mencemarkan imej parti, menyerang kepimpinan parti dan Presiden, mencadangkan Presiden meletakkan jawatan serta mempertikaikan keputusan Lembaga Disiplin.
Beliau mendakwa sepanjang sesi tersebut, beliau telah mengemukakan tiga tuntutan utama bagi memastikan proses yang adil.
Tuntutan pertama melibatkan permintaan agar dua Ahli Jawatankuasa LD menarik diri daripada mengendalikan kesnya kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan yang boleh menjejaskan kebebasan dan ketelusan proses disiplin. Namun, permintaan itu ditolak dengan alasan bahawa Lembaga Disiplin bukan sebuah mahkamah.
“Pada saya, jawapan-jawapan itu tidak memuaskan dari segi prinsip-prinsip natural justice, conflict of interest dan fair trial. Ini kerana mana-mana lembaga atau panel disiplin, termasuk LD, tidak perlu menjadi mahkamah untuk menegakkan ketiga-tiga prinsip ini.
“Justeru, saya menyatakan bahawa saya tetap dengan pendirian saya bahawa mereka berdua mesti berundur. Katanya.
Saifuddin turut mempersoalkan kegagalan LD memisahkan peranan sebagai penyiasat, pendakwa dan pembuat keputusan, yang menurutnya bercanggah dengan prinsip natural justice dan hak kepada perbicaraan yang adil.
“Mohd Radzlan menjawab bahawa LD tidak memisahkan tugas-tugas tersebut. LD adalah pihak yang sama dalam menyiasat, mendakwa dan membuat keputusan dalam kes saya. Kata Saifuddin.
Selain itu, beliau juga memohon agar Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipanggil memberikan penjelasan berhubung isu yang menjadi asas kepada pertuduhan terhadapnya, namun permohonan tersebut tidak menerima sebarang maklum balas.
“LD hanya boleh membuat keputusan terhadap pertuduhan ke atas saya selepas memanggil dan meneliti keterangan oleh Tan Sri Muhyiddin berkaitan persoalan-persoalan dan isu-isu tertentu yang akan saya timbulkan dalam sesi perjumpaan. Ujarnya.
Berikutan kegagalan ketiga-tiga tuntutan itu dipenuhi, Saifuddin memaklumkan bahawa beliau telah memohon agar satu sesi perjumpaan baharu diadakan dengan syarat prinsip keadilan asasi dipatuhi sepenuhnya.
Sehubungan itu, Saifuddin mengesahkan bahawa beliau akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan BERSATU dalam masa terdekat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.