
PARLIMEN | 23 jan 26 — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberi amaran bahawa cadangan kerajaan memperkenalkan ujian diagnostik untuk kemasukan awal Darjah Satu berpotensi mewujudkan stigma, diskriminasi dan memburukkan lagi krisis buli dalam kalangan murid sekolah.
Berucap di Dewan Rakyat, Syed Saddiq berkata kebimbangan utama beliau bukan sekadar soal kemasukan awal ke sekolah, tetapi implikasi jangka panjang sistem dua peringkat (double-tier system) yang menurutnya akan mencipta perbezaan kelas secara terbuka dalam kalangan kanak-kanak seawal usia enam dan tujuh tahun.
“Kini kes buli makin lama makin teruk, sampai ada kes tikam-menikam. Yang saya lebih risau ialah kewujudan stigma,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa sistem pendidikan sedia ada selama ini bersifat standard, di mana kemasukan murid adalah berdasarkan umur tanpa pemisahan awal. Namun, pelaksanaan ujian diagnostik akan mewujudkan klasifikasi jelas antara murid yang lulus dan tidak lulus, sekali gus membuka ruang kepada pelabelan sosial.
Menurut Syed Saddiq, murid yang melepasi ujian berisiko dilabel sebagai “pandai” atau “cerdik”, manakala mereka yang gagal pula mudah dicop sebagai lemah, satu situasi yang menurutnya amat berbahaya dalam persekitaran sekolah.
“Bayangkan bagaimana anak-anak ini akan dilabel dan dibuli. Kita bukan bercakap tentang orang dewasa. Dalam Dewan ini pun orang dewasa masih bergaduh, apatah lagi budak-budak di sekolah,” ujarnya.
Ahli Parlimen Muar itu turut menegaskan bahawa perbezaan satu tahun kemasukan ke sekolah akan menjadi asas kukuh kepada pembuli untuk membezakan, mengejek dan menindas rakan sebaya, sekali gus menjadikan stigma lebih teruk dan berpanjangan.
“Ini satu clear evidentiary classification difference yang boleh digunakan untuk membuli. Stigma itu akan jadi semakin teruk,” katanya lagi sambil menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan tersebut.
Syed Saddiq menyifatkan sistem dua tingkat dalam pendidikan awal sebagai satu bentuk diskriminasi terselindung yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan perlindungan kanak-kanak.
“Double-tier system ini akan menyebabkan stigma dan diskriminasi yang lebih teruk terhadap anak-anak, khususnya mereka yang sudah sedia terdedah kepada budaya buli di sekolah,” katanya.
Semakin ramai pihak mempersoalkan langkah kerajaan dalam isu ini. Secara tidak langsung ini menunjukkan kebimbangan bahawa dasar tersebut tetap berisiko mencetuskan stigma sosial dan jurang baharu dalam ekosistem sekolah, khususnya ketika negara sedang berdepan peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar.
Selain Saddiq, Ketua Pembangkang Datuk Serui Hamzah Zainuddin serta Isham Jalil mantan MKT UMNO turut mempersoalkan langkah kerajaan ini. @politiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.