
SEREMBAN | 20 Apr 26 – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard menasihatkan Menteri Besar, Aminuddin Harun agar lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam mengurus isu melibatkan institusi istana Negeri Sembilan.
Menurut beliau, sebarang krisis yang timbul sepatutnya ditangani secara tenang melalui proses yang teratur, termasuk memanggil mesyuarat rasmi serta mendapatkan pandangan penasihat undang-undang sebelum membuat sebarang keputusan.
“Bila berlaku krisis, Menteri Besar seharusnya bertenang dan memanggil mesyuarat dengan korum mencukupi, serta merujuk kepada penasihat undang-undang. Bukan membuat pengumuman unilateral pada waktu awal pagi,” katanya dalam satu kenyataan di facebook.
Chegubard berkata, pendekatan sedemikian penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil selari dengan prinsip tadbir urus yang baik, khususnya dalam isu yang menyentuh institusi adat dan istana.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa urusan berkaitan pelantikan atau penurunan Yang di-Pertuan Besar adalah di bawah bidang kuasa Majlis Undang Yang Empat, dan perlu dihormati oleh semua pihak.
“Perlu difahami struktur dan peranan setiap institusi supaya tidak timbul kekeliruan atau salah tafsir dalam membuat kenyataan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan setiap proses yang berlaku dalam institusi adat memenuhi keperluan prosedur, termasuk aspek korum dan peranan pengerusi mesyuarat.
Mengulas lanjut, Chegubard berpandangan bahawa situasi semasa wajar dijadikan ruang untuk memperkukuh kefahaman terhadap sistem pemerintahan adat di Negeri Sembilan, selain menilai semula asas perjanjian yang membentuk struktur tersebut.
“Krisis ini boleh dijadikan peluang untuk memperkasa institusi pemerintahan adat agar terus dihormati dan berfungsi dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dilaporkan menegaskan bahawa sebarang pengisytiharan berkaitan penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah tidak sah dan tidak diiktiraf kerajaan negeri.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan institusi adat perlu melalui proses yang sah serta mematuhi peruntukan undang-undang negeri, termasuk peranan Dewan Keadilan dan Undang sebagai badan berkaitan dalam hal ehwal adat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.