
SHAH ALAM | 20 Apr 26 – Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan ahli politik yang dilihat terlalu banyak berpolitik sehingga berpotensi mengelirukan rakyat dan menjejaskan perpaduan.
Baginda bertitah, pemimpin masyarakat dan ahli politik seharusnya memainkan peranan membantu rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran semasa, dan bukannya mengambil kesempatan daripada krisis untuk kepentingan tertentu.
“Beta melihat sejak akhir-akhir ini orang-orang politik terlalu banyak berpolitik. Kesannya adalah kepada rakyat sebab rakyat akan merasa keliru dengan isu-isu yang sering dipolitikkan seterusnya boleh mengakibatkan perpecahan,” titah baginda.
Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 di Shah Alam, hari ini.
Dalam masa sama, baginda mengingatkan kerajaan negeri agar membuat persiapan awal dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang dijangka memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, baginda menitahkan supaya keutamaan diberikan kepada perbelanjaan keperluan asas, selain memastikan setiap perbelanjaan awam dilaksanakan secara berhemah dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
“Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat,” titah baginda.
Baginda turut menekankan keperluan untuk menangani isu banjir secara menyeluruh dan berkesan, termasuk pelaksanaan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Beta tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan dan ditamatkan sekali untuk selamanya,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kepercayaan rakyat terhadap wakil rakyat sekiranya isu-isu asas tidak ditangani dengan baik.
“Jangan sampai rakyat hilang rasa percaya kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,” titah baginda.
Titah baginda dilihat sebagai peringatan jelas agar semua pihak kembali memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan kestabilan negeri, berbanding terus terperangkap dalam polemik politik yang berpanjangan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.