
KUALA LUMPUR | 17 Feb 26 – Tindakan Presiden Muhyiddin Yassin memecat Timbalannya terus menerima tentangan apabila kepimpinan Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan bertindak meletak jawatan secara kolektif dan membubarkan sayap itu serta-merta.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Datuk Simon Suresh V bersama lapan Ketua Sayap Bahagian Wilayah Persekutuan yang menyifatkan keputusan memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai tidak adil serta mencerminkan kegagalan pengurusan krisis dalaman parti.
Dalam kenyataan bersama, mereka secara terbuka menyatakan tidak bersetuju dengan cara isu berkenaan dikendalikan oleh Presiden, Setiausaha Agung dan Pengerusi Lembaga Disiplin parti, sambil mendakwa proses tersebut memperlihatkan ketidakmatangan politik dan ketakutan berdepan cabaran dalaman secara demokratik.
“Tindakan memecat Timbalan Presiden serta mana-mana pimpinan yang menyatakan sokongan kepada beliau hanyalah membuktikan betapa rapuh dan lemahnya kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mengurus perbezaan pandangan”.
“Ini bukan ciri seorang pemimpin yang berjiwa besar. Katanya.
Sehubungan itu, mereka mengumumkan tiga keputusan utama iaitu menyatakan sokongan penuh kepada Hamzah, meletak jawatan daripada keanggotaan parti dan semua jawatan disandang berkuat kuasa serta-merta serta membubarkan Sayap Bersekutu Wilayah Persekutuan.
Langkah tersebut dilihat sebagai perkembangan terbaharu yang memperlihatkan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia semakin meruncing, khususnya di peringkat kepimpinan sayap di Wilayah Persekutuan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.