
KUALA LUMPUR, 29 Mei 25 — Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, hari semalam mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada Jemaah Menteri.
Perletakan jawatan itu akan berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025.
Menurut Rafizi, keputusan tersebut dibuat susulan kekalahan beliau mempertahankan jawatan timbalan presiden susulan pemilihan PKR baru-baru ini.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat dari parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.”
Beliau turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu adalah sejajar dengan amalan demokrasi di negara-negara maju, di mana pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti memberi laluan kepada pemimpin baharu.
Rafizi, yang akan bercuti sehingga tarikh peletakan jawatannya berkuat kuasa, mengucapkan penghargaan kepada warga Kementerian Ekonomi atas kerjasama dan dedikasi mereka sepanjang perkhidmatannya.
Tidak lama selepas pengumuman tersebut, rakan sejawatnya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, juga menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan media, Nik Nazmi memaklumkan peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 4 Julai 2025, namun beliau mula bercuti hari ini sehingga 3 Julai.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penjawat awam pasukan di pejabat serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil.
Perletakan jawatan Rafizi ini mengotakan janjinya semasa berkempen dalam pemilihan parti yang mana beliau berkata akan meletakkan jawatan sekiranya tewas dalam mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden Keadilan Rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengesahkan menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Setelah meneliti permohonan tersebut, YAB Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan. @politiko.my