Tindakan UMNO/Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri bukan sekadar episod politik negeri. Ia adalah petunjuk jelas bahawa kerjasama antara UMNO/BN dan kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim masih jauh daripada kukuh. Naratif “perpaduan” yang sering diulang tampak retak apabila diuji di lapangan sebenar.
Apa yang berlaku ini mengangkat satu realiti yang sukar dinafikan: hubungan antara parti dalam kerajaan hari ini lebih bersifat taktikal berbanding berasaskan keserasian ideologi atau kepercayaan jangka panjang.
Jika benar kerjasama ini stabil dan diyakini di semua peringkat, episod seperti di Negeri Sembilan tidak sepatutnya berlaku.
Lebih menarik, situasi ini perlu dilihat dalam konteks lebih luas, khususnya di Johor. Di negeri tersebut, UMNO/BN memiliki kedudukan yang jauh lebih selesa dan tidak bergantung kepada PH untuk membentuk kerajaan.
Hakikat ini menimbulkan persoalan: jika di Johor UMNO mampu berdiri sendiri, mengapa di peringkat Persekutuan dan negeri lain perlu bergantung kepada gabungan yang jelas tidak serasi?
Jawapannya mungkin terletak pada percaturan elit politik, bukan kehendak akar umbi. Di peringkat bawahan, ramai pemimpin dan penyokong parti dilihat sekadar mengikut arus keputusan kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerjasama ini bukan lahir daripada kesepakatan organik di peringkat akar, tetapi lebih kepada kompromi politik untuk mengekalkan kuasa di pusat.
Keadaan ini mewujudkan jurang antara naratif rasmi dan realiti sebenar. Di satu pihak, rakyat disajikan dengan mesej kestabilan dan perpaduan. Di pihak lain, tindakan di peringkat negeri menunjukkan wujudnya ketidakpercayaan dan ketegangan yang belum diselesaikan.
Jika episod Negeri Sembilan ini menjadi petunjuk, maka persoalan besar perlu ditanya: sejauh mana tahan kerjasama ini apabila berdepan tekanan politik yang lebih besar?
Jangan lupa, Presiden UMNO sendiri sudah beri banyangan bahawa UMNO BN mungkin akan bergerak solo dalam PRU akan datang. Ini adalah satu taktik agar pengundi Melayu melihat UMNO menjauhkan diri PH khususnya DAP, tetapi pada masa yang sama, akan sedia berkerjasama sama kembali untuk kuasa.
Tanpa asas kepercayaan yang kukuh dan sokongan tulen di peringkat akar umbi, sebarang gabungan hanya akan kekal sebagai pakatan sementara — rapuh, mudah tergugat, dan sentiasa terdedah kepada percaturan kuasa.
Akhirnya, kestabilan politik tidak boleh dibina semata-mata melalui perjanjian elit. Ia memerlukan keserasian, kejujuran dan keyakinan bersama — sesuatu yang kini dilihat masih belum benar-benar wujud dalam kerjasama UMNO/BN dan kerajaan Madani. @analitiko