
SHAH ALAM | 29 Apr 26 – Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Noh Omar mencadangkan supaya Perlembagaan Negeri Selangor dipinda bagi menetapkan bahawa jawatan Menteri Besar hanya boleh disandang oleh anak jati negeri itu.
Menurut beliau, cadangan tersebut bertujuan memastikan kepimpinan negeri benar-benar memahami serta menghayati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, demi kepentingan rakyat.
Katanya, terdapat keadaan di mana kerajaan negeri dilihat tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap nasihat baginda, sehingga teguran yang diberikan diibaratkan seperti “mencurah air ke daun keladi”.
“Pada pandangan saya, kerajaan hari ini dilihat tidak akur dan tidak melaksanakan titah Tuanku,” katanya ketika mengulas isu berkenaan di facebook beliau.
Beliau menegaskan bahawa pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anak jati negeri diyakini mampu memastikan kepekaan yang lebih tinggi terhadap adat, budaya serta kehendak institusi diraja di negeri itu.
Dalam pada itu, Noh turut membangkitkan beberapa isu berkaitan sensitiviti dan kepentingan menghormati institusi diraja yang menurutnya perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menyiasat dan mendakwa mereka yang biadap dan kurang ajar ke muka pengadilan,” tegas beliau.
Cadangan tersebut dijangka mencetuskan perbincangan mengenai keperluan pindaan perlembagaan negeri serta peranan kepimpinan tempatan dalam memastikan hubungan antara pentadbiran dan institusi diraja terus terpelihara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.