Insiden Tertembak: Tan Lek Khang Cedera

JOHOR BAHRU | 29 Apr 26 – Insiden membabitkan bekas Ketua Bersekutu BERSATU Johor, Datuk Tan Lek Khang yang cedera akibat tembakan di sebuah pusat latihan menembak petang tadi mencetuskan perhatian ramai, namun setakat ini tiada unsur jenayah dilaporkan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika sesi latihan di lapang sasar sebelum mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada. Beliau kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber awal memaklumkan keadaan beliau kini stabil selepas menerima rawatan, walaupun terdapat laporan awal yang menyebut kecederaan dialami agak serius.

Dalam perkembangan berkaitan, Mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan beliau bergegas ke Johor Bahru sebaik menerima berita tersebut.

“Malam ini saya bergegas ke Johor Bahru selepas mendapat khabar Datuk Tan Lek Khang, sahabat karib yang telah saya anggap seperti adik sendiri tercedera dalam insiden di Pusat Latihan Menembak petang tadi.

“Beliau sedang diberi rawatan terbaik di Hospital Sultan Ismail dan saya mendoakan beliau segera sembuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Insiden ini bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di pusat latihan menembak serta pematuhan prosedur operasi standard dalam mengendalikan senjata api.

Walaupun tiada elemen jenayah setakat ini, siasatan lanjut dijangka dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Kes ini turut menarik perhatian pemerhati politik memandangkan Tan Lek Khang sebelum ini dikenali sebagai figura penting dalam BERSATU Johor sebelum mengambil keputusan meninggalkan parti awal tahun ini. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share