Titah Tengku Mahkota Isyarat Kelemahan Kerajaan Madani — Tuan Ibrahim

KUANTAN, 9 Mei — Perikatan Nasional (PN) Pahang menyifatkan titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai isyarat jelas terhadap kelemahan pentadbiran Kerajaan Madani, khususnya melibatkan birokrasi, ketelusan dan pengurusan hak negeri.

Pengerusi PN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa perkara dibangkitkan dalam titah baginda menggambarkan wujud keperluan mendesak untuk reformasi pentadbiran dan penambahbaikan tadbir urus negeri.

Menurut beliau, antara isu paling ketara ialah kelewatan proses kelulusan pelaburan yang disifatkan menjejaskan daya saing Pahang.

“Apabila tempoh kelulusan sehingga 18 hingga 24 bulan perlu dipendekkan kepada tiga hingga enam bulan, ia menunjukkan memang ada masalah besar dari sudut kecekapan sistem pentadbiran sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PN Pahang menyokong penuh saranan supaya sistem “fast track” diperluaskan terutama melibatkan urusan tanah bagi menarik pelabur berkualiti dan mempercepat pembangunan ekonomi negeri.

Dalam masa sama, PN Pahang turut menyokong ketegasan Istana Pahang berhubung isu larangan eksport pasir sungai serta tuntutan pampasan kelestarian daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Tuan Ibrahim, perkara itu melibatkan hak negeri yang selama ini memikul tanggungjawab besar dalam memelihara hutan, kawasan tadahan air dan keseimbangan ekosistem negara.

“Pahang tidak boleh terus menanggung beban pemeliharaan alam sekitar tanpa pengiktirafan dan pampasan yang sewajarnya,” katanya.

PN Pahang turut membangkitkan isu ketelusan pentadbiran termasuk dakwaan amalan embargo terhadap dokumen penting seperti laporan audit sehingga saat akhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, keadaan itu menyukarkan ADN pembangkang menjalankan fungsi semak dan imbang secara berkesan.

Selain itu, PN Pahang menggesa kerajaan negeri memberikan ruang lebih luas kepada ADN pembangkang untuk terlibat dalam jawatankuasa berkaitan kebajikan rakyat dan pengurusan bencana.

Mereka turut menekankan keperluan kerajaan bertindak lebih tegas dalam menangani isu sensitiviti agama dan kaum demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Menurut Tuan Ibrahim, keseluruhan perkara yang disentuh dalam titah Tengku Mahkota Pahang perlu dilihat sebagai peringatan serius supaya pentadbiran negeri bergerak lebih cekap, telus dan bertanggungjawab terhadap rakyat. 

Baru-baru ini, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menegaskan pendirian agar negeri itu diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.

Baginda turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana AbdulAziz pada malam Jumaat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share