
SHAH ALAM | 20 Mei 26 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Shafie Ngah menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menghayati sepenuhnya prinsip Rukun Negara, khususnya prinsip kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Dalam kenyataannya, beliau menjunjung kasih atas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta menegaskan bahawa kelima-lima prinsip Rukun Negara perlu difahami dan dihayati tanpa menolak mana-mana daripadanya.
Menurut beliau, Rukun Negara merupakan asas yang membentuk jiwa dan identiti rakyat Malaysia sejak sekian lama.
“Semua rakyat Malaysia wajib menghayati Rukun Negara tanpa tertinggal satu pun daripada lima prinsipnya. Dalami segala maksud tersurat dan tersirat,” katanya ketika hadir ke plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Shafie berkata, seseorang tidak layak mengaku sebagai rakyat Malaysia sekiranya masih mempertikaikan atau menafikan prinsip-prinsip yang menjadi tunjang perpaduan negara.
“Andai satu pun daripadanya kita nafikan, apatah lagi mempertikaikan, tidak layaklah untuk kita mengaku sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara bukan sekadar slogan, tetapi menuntut rakyat untuk sentiasa berlindung di bawah kebijaksanaan, kasih sayang dan nasihat Institusi Raja.
“Bukan sekadar setia, tetapi berlindung di bawah kasih dan nasihat Tuanku,” katanya.
Dalam nada penuh kiasan, Shafie turut mengingatkan supaya tiada pihak cuba menggugat institusi yang menjadi pelindung rakyat dan kestabilan negara.
“Janganlah ada yang suka mencucuk payung bersih indah ini, kelak kalau tercarik, binasalah nasib yang di bawahnya,” katanya.
Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan semua wakil rakyat Negeri Selangor supaya memahami serta menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara demi menjaga perpaduan dan keharmonian negara.
Dala lawatan tersebut, Sultan Sharafuddin bertitah, pembinaan plak berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sejarah kelahiran Rukun Negara susulan tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.