
KUALA LUMPUR, 8 JUN 25 – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim membidas Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin yang mengatakan hak orang Melayu masih terselamat.
Rais menegaskan, situasi semasa tidak menunjukkan orang Melayu menjadi keutamaan kerajaan hari ini.
“Tolong tunjuk satu ayat ucapan Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tentang hak Melayu sejak menjadi perdana menteri pada 24 Nov 2022.
“Apa presiden dan pemimpin Umno cakap dan buat pasal hak Melayu sejak makan gaji di bawah Madani?,” kata Rais.
Dakwanya, hak dan kepentingan orang Melayu dalam negara sebenarnya sudah ranap.
“Sebenarnya dah ranap tukarlah cermin mata tu. Lapor balik.”
Rais juga mempersoalkan capaian ekonomi orang Melayu di bawah pentadbiran kerajaan hari ini selain bilangan projek baharu yang berkaitan orang Melayu diluluskan.
“Berapa peratus capaian ekonomi Melayu kini? 17%, 19%? Atau dah lumat di sondol kerajaan sosialistik Madani kini?
“Tolong nyatakan berapa projek baru di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mutakhir?
“Kenapa Hotel Majestik dan Kompleks Keretapi Tanah Melayu serah kepada YTL lalu tak mahu guna nama Keretapi Tanah Melayu lagi? dan berapa ratus ekar tanah Sentul dah disental syarikat sama tanpa hebahan kos dan terma?
“Bahasa Melayu dah disetujui Yang diPertuan Agong pada 2003 secara bertulis sebagau teks sahih Perlembagaan Persekutuan. Kenapa sampai kini senyap? Bahasa Inggeris masih bahasa sahih Perlembagaan Persekutuan,” kata Rais lagi. @politiko.my