Tony Pua Biadap? Haniff Khatri Saran Rukun Negara Dijadikan Sumber Kuasa Perlembagaan

KUALA LUMPUR | 20 Mei 26 — Peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla berpandangan kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua terhadap titah Sultan Selangor mungkin tidak salah dari sudut undang-undang, namun dianggap biadab dari sudut adab dan budaya kenegaraan Malaysia.

Menurut Haniff, masyarakat hari ini semakin gagal membezakan antara kebebasan bersuara dengan adab terhadap Institusi Raja Melayu sehingga isu melibatkan Sultan dibahaskan seperti mengulas ahli politik biasa.

Katanya, Tony Pua sepatutnya memahami konteks titah Sultan Selangor yang mahu menyedarkan rakyat mengenai kepentingan menghayati Rukun Negara serta menghormati Institusi Diraja.

“Di sisi undang-undang mungkin tidak salah, tetapi dari sudut adat dan adab terhadap Raja, ia boleh dianggap biadab,” katanya kepada politiko.

Beliau berkata, kenyataan berkaitan Sultan tidak boleh dibuat secara terbuka dan kasar kerana sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia mempunyai adat serta saluran tertentu yang perlu dihormati.

Haniff turut menegaskan bahawa rakyat tidak boleh melihat kuasa Institusi Raja hanya dalam kerangka teknikal undang-undang semata-mata.

“Semua orang tahu kuasa Sultan ada batas tertentu dalam undang-undang. Tetapi kita tak boleh sempitkan isu itu hanya kepada sudut perundangan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya Rukun Negara diberikan kedudukan lebih kuat dengan dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber kuasa negara.

Menurutnya, sejak digubal pada 1970, Rukun Negara hanya menjadi panduan moral masyarakat tanpa mempunyai kuasa perundangan yang jelas.

“Kerajaan sejak dahulu gagal memberikan sumber kuasa kepada Rukun Negara. Orang bercakap soal Rukun Negara, tetapi ia belum menjadi sumber kuasa undang-undang,” katanya.

Haniff mencadangkan prinsip Rukun Negara dimasukkan dalam mukadimah atau peruntukan khas Perlembagaan supaya ia boleh dijadikan asas kepada pembentukan undang-undang dan dasar negara.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan nilai seperti Kesopanan dan Kesusilaan, Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesetiaan Kepada Raja dan Negara benar-benar menjadi asas kehidupan bernegara di Malaysia.

Beliau turut berpandangan bahawa titah Sultan mempunyai nilai penting dalam pembentukan dasar kerajaan terutama dalam isu berkaitan Islam, tanah dan kepentingan negeri walaupun titah itu tidak secara automatik menjadi undang-undang.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berkata di facebook miliknya bahawa “Rakyat Malaysia tidak hidup dalam sistem di mana raja boleh mengeluarkan titah yang mengikat dan menggubal semua aspek kehidupan rakyat,”.

Kenyataan tersebut sebagai respon kepada nasihat kepada semua rakyat termasuk wakil rakyat Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, agar hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati makna Rukun Negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share