
KUALA LUMPUR, 18 Ogos 25 — Beberapa suspek yang didakwa terlibat dengan kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir akan dituduh berdasarkan keterangan yang ada.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, ia susulan penelitian kertas siasatan kes kematian pelajar itu yang dirujuk polis.
“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
AGC berkata, walaupun keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat, ia tidak akan menjejaskan siasatan masih dijalankan polis berhubung kes kematian Zara termasuk prosiding inkues akan dijalankan di mahkamah.
Dalam perkembangan yang sama, Mahkamah Koroner hari ini menetapkan bulan depan untuk prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Prosiding itu akan menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terbabit dalam kematiannya.
Mahkamah menetapkan tarikh prosiding pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.