
KUALA LUMPUR, 6 MEI 25 – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan pendekatan baharu dalam proses pelantikan perdana menteri bagi memastikan penyatuan politik yang lebih kukuh dan berorientasikan perpaduan nasional.
Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair, Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, mekanisme baharu itu bukan sahaja bertujuan menyatupadukan rakyat tetapi juga mengangkat prinsip keadilan, meritokrasi, dan musyawarah dalam politik negara.
“Pendekatan ini disarankan berikutan kegagalan struktur politik tradisional yang dikatakan menjadi penghalang kepada perpaduan nasional.
“Sudah tiba masanya penyatuan Melayu merentasi sempadan politik kepartian dijadikan keutamaan demi kepentingan bangsa dan negara,” katanya, dalam satu kenyataan.
Jelasnya, mekanisme yang dicadangkan merangkumi proses pencalonan terbuka dan berstruktur, di mana semua parti pembangkang dan NGO yang menyokong agenda perpaduan akan diberikan ruang mencalonkan tokoh-tokoh yang layak menjadi perdana menteri.
Pencalonan itu pula katanya akan diuruskan oleh satu sekretariat bebas yang terdiri daripada wakil pelbagai parti, NGO, dan tokoh masyarakat.
Sekretariat bertanggungjawab meneliti semua pencalonan dan menyenarai pendek 10 calon yang memenuhi kriteria utama seperti integriti, kebolehan memimpin, penerimaan rakyat, dan kebijaksanaan strategik.
“Bagaimanapun, tiada calon daripada senarai pendek ini akan diumumkan semasa kempen pilihan raya.
“Pemilihan rasmi calon perdana menteri hanya akan dibuat selepas gabungan mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan,” katanya.
Ia bertujuan menunjukkan permuafakatan serta disiplin strategik dalam kalangan parti pembangkang.
Pendekatan itu kata Armin dijangka dapat mengelakkan perpecahan dalaman akibat pertikaian awal mengenai calon perdana menteri.
Pada masa yang sama, ia memberikan penghormatan kepada semua pihak, termasuk parti besar, kecil, NGO, dan individu, dalam menentukan kepimpinan negara.
Menurutnya lagi, mekanisme itu juga mencerminkan kematangan politik blok pembangkang di mata rakyat yang semakin kritikal dan celik politik.
“Pendekatan ini bukan sahaja strategik tetapi juga simbol komitmen bersama untuk memenangi pilihan raya dan memastikan masa depan negara yang lebih baik.
“Apa yang penting kini ialah kesediaan semua pihak untuk bersatu dan berjuang demi kemenangan dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya lagi. @politiko.my