
Keputusan Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah kehakiman dan politik negara apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didapati bersalah atas semua pertuduhan yang dihadapinya dan dijatuhi hukuman penjara serta denda yang amat berat.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda berbilion ringgit ke atas Najib selepas mendapati beliau menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk memudahkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah berbilion ringgit.
Hukuman tersebut, juga boleh dilihat sebagai jenayah serius yang memberi kesan besar terhadap ekonomi negara, reputasi antarabangsa dan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Dalam alasan penghakiman, hakim mengambil kira kedudukan Najib sebagai pemimpin tertinggi negara ketika kesalahan dilakukan dilihat sebagai faktor pemberat yang menuntut tahap kebertanggungjawaban lebih tinggi.
Lebih signifikan, mahkamah secara tegas menolak pembelaan Najib bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya merupakan “derma politik” daripada Arab Saudi.
Hakim memutuskan dakwaan tersebut tidak disokong oleh bukti yang kukuh dan tidak munasabah dari sudut undang-undang dan logik kewangan. Surat-surat yang dikemukakan sebagai bukti derma tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal, tidak disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa Arab Saudi, dan tidak disokong oleh dokumen rasmi atau saksi yang berwibawa.
Mahkamah turut meneliti jejak aliran kewangan dan mendapati wang tersebut dipindahkan melalui syarikat perantara serta akaun luar pesisir, satu corak yang bercanggah dengan amalan sumbangan politik yang sah dan telus.
Ketiadaan rekod dalam akaun rasmi parti atau kerajaan menguatkan dapatan bahawa dana tersebut bukanlah derma tulen, sebaliknya berpunca daripada dana 1MDB yang diselewengkan.
Hakim menegaskan bahawa walaupun sesuatu dana dilabel sebagai derma, ia tidak boleh menghalalkan wang yang berasal daripada aktiviti haram. Justeru, naratif “derma Arab Saudi” gagal sama sekali menimbulkan keraguan munasabah dan dianggap sebagai pembelaan yang tidak boleh dipercayai.
Implikasi dari penghakiman ini menuntut satu persoalan besar kepada wacana awam dan politik negara.
Sebelum ini, beberapa tokoh politik termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta beberapa agensi dan pihak berkuasa pernah mengesahkan bahawa wang berkenaan adalah derma daripada kerajaan Arab Saudi.
Dengan keputusan mahkamah yang memutuskan dakwaan tersebut sebagai palsu dan tidak berasas, timbul persoalan penting: apakah asas sebenar pengesahan yang pernah dibuat sebelum ini, dan adakah institusi serta tokoh terlibat perlu menjelaskan semula peranan dan kenyataan mereka kepada rakyat?
Kerajaan harus melalukan sesuatu dalam hal ini. Soalnya, mampukah kerajaan berbuat demikian? @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.