
Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa BN perlu bersedia bergerak secara solo pada PRU16 bukan sekadar retorik politik, sebaliknya boleh dibaca sebagai isyarat penyelamat kepada gabungan itu yang kini berdepan tekanan dalaman semakin ketara.
Tekanan tersebut memuncak apabila MCA dan MIC secara terbuka memberi gambaran mahu keluar BN, didorong oleh penolakan keras terhadap DAP yang dianggap semakin dominan dalam kerajaan perpaduan.
Bagi kedua-dua parti itu, kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja melemahkan identiti politik mereka, malah memaksa mereka bersekongkol dengan parti yang selama ini dilabel sebagai ancaman kepada sokongan tradisional masing-masing.
Dalam konteks ini, DAP dilihat bukan sekadar rakan gabungan, tetapi liabiliti politik — sebuah parti yang membawa beban persepsi, sentimen dan penolakan akar umbi, khususnya dalam kalangan penyokong BN.
Label DAP sebagai “parti toksik” bukan lahir daripada retorik kosong, tetapi daripada realiti bahawa kehadiran DAP dalam mana-mana kerjasama politik sering mencetuskan penolakan, bukan pengukuhan sokongan.
Kegelisahan MCA dan MIC mencerminkan hakikat bahawa selagi BN terus dilihat bergantung kepada DAP untuk kekal berkuasa, selagi itulah komponen BN akan berdepan krisis keyakinan.
Isyarat mahu keluar BN boleh ditafsirkan sebagai tekanan politik agar kepimpinan BN membuat keputusan muktamad — sama ada kembali kepada identiti asal, atau terus tenggelam dalam kompromi yang memakan diri.
Di sinilah kenyataan Zahid mengenai BN bergerak solo PRU16 menjadi signifikan. Ia dilihat sebagai usaha mengembalikan autonomi BN, sekali gus menghantar mesej kepada MCA dan MIC bahawa BN tidak selamanya terikat dengan DAP. Kenyataan ini juga berfungsi menenangkan akar umbi UMNO yang semakin tidak selesa dengan kerjasama bersama PH, khususnya DAP.
Namun, signal ini datang bersama risiko. Bergerak solo bermakna BN perlu berdepan realiti sebenar kekuatan politiknya tanpa perlindungan rakan gabungan. Tetapi bagi BN, risiko itu mungkin lebih terkawal berbanding terus memikul beban politik DAP yang semakin ditolak.
Kesimpulannya, polemik MCA–MIC dan penolakan terhadap DAP mendedahkan satu hakikat penting: DAP kini lebih banyak membawa kos politik berbanding manfaat kepada rakan-rakannya. Jika BN benar-benar mahu selamat menghadapi PRU16, langkah memutuskan kebergantungan kepada parti yang dianggap toksik mungkin bukan pilihan radikal — sebaliknya satu keperluan strategik. @analitiko