Oleh : Saifuddin Abdullah

Pada 11 November lalu, Pengerusi PN dan Presiden Pengasas BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan calon-calon PN untuk PRN Sabah.
Seramai 41 calon diumumkan (BERSATU: 33, PAS: 5, GERAKAN: 3). 90 peratus daripadanya muka baru. 30 peratus adalah anak muda.
Calon-calon BERSATU diketuai Pengerusi PN Sabah dan Ketua BERSATU Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (bertanding di Sugut), PAS diketuai Pesuruhjaya PAS Sabah Datuk Aliakbar Gulasan (Karambunai) dan GERAKAN diketuai Setiausaha GERAKAN Sabah William Ooi (Luyang).
Bagi PN, penyenaraian seramai itu calon adalah membanggakan. Ini kerana pada satu masa dahulu, terdapat pihak-pihak yang menganggap PN tidak lagi bertapak di Sabah.
Tetapi, angin perubahan mula bertiup apabila PN mengorak langkah bersiap menghadapi PRN ini.
Ia bermula pada Januari 2023 dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin (ketika itu Setiausaha Agung PN dan BERSATU) bersama-sama Ronald mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli akar umbi BERSATU Sabah selepas GRS ditubuhkan.
Pada Julai 2024, Hamzah dan Ronald menganjurkan Konvensyen BERSATU Sabah untuk memperkasa BERSATU Sabah dan menerangkan ‘Idealisme Perjuangan BERSATU’.
Seterusnya, Hamzah (kini Timbalan Pengerusi PN dan Timbalan Presiden BERSATU) bergandingan dengan Ronald melancarkan Program Jelajah Rakyat 2025 PN di Sepanggar pada 15 Januari lalu. Di sinilah war cry PN untuk PRN Sabah, iaitu “Kasi Bagus Sabah” mula-mula dilaungkan.
Ini diikuti dengan siri program Jelajah Rakyat yang seterusnya. Antara yang dijalankan dengan skala besar ialah di Kudat, Libaran, Sipitang, Batu Sapi, Beufort, Tawau dan Semporna.
Di samping itu, pelbagai ceramah kelompok, bakti masyarakat dan program ziarah dilaksanakan PN dan bakal-bakal calon tersebut di peringkat akar umbi.
Kemuncaknya ialah Pelancaran Jentera PN di Sandakan pada 8 November.
Program-program dan aktiviti-aktiviti tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada rakyat Sabah.
Sebab utamanya ialah rakyat Sabah amat hampa dengan prestasi kerajaan negeri yang ada kini. Ini terutamanya kerana kegagalannya menyelesaikan tiga masalah utama, yang digelar “Masalah Tiga Beradik”, iaitu air, elektrik dan jalan raya.
Rasuah yang berleluasa, termasuk yang dirakam video yang viral, membuakkan kemarahan rakyat.
Sentimen rakyat yang tidak puas hati berkaitan bagaimana kes Allahyarhamah Zara Qairina diuruskan semakin merumitkan kerajaan.
Manakala perpecahan parti-parti kerajaan, contohnya tindakan UPKO keluar daripada PH menambahkan lagi masalah kerajaan.
Sebaliknya, rakyat melihat PN mampu memberikan tawaran-tawaran yang segar.
Pertama, PN menjanjikan barisan calon yang berkemampuan (contohnya berpendidikan tinggi dan profesional, seperti peguam, pensyarah, usahawan, teknokrat), berintegriti dan sedia berkhidmat kepada rakyat.
Kedua, PN parti terawal berjanji akan menunaikan kandungan MA63 iaitu memulangkan 40 peratus hasil kepada Sabah. Ini diumumkan sebelumpun mahkamah membuat keputusan tentangnya.
Dan ketiga, PN tidak menjanjikan bulan dan bintang. Sebaliknya, PN komited menyelesaikan “Masalah Tiga Beradik”, membesarkan kek ekonomi tempatan dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Ia perkara-perkara praktikal dan mampu dilaksanakan dalam tempoh satu penggal.
Sesungguhnya PN mampu meniupkan angin perubahan ke arah sebuah kerajaan baru di Sabah.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.