
KUALA LUMPUR, 13 Jun 25 – Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran berehat daripada jawatan perdana menteri susulan kes membabitkan tuduhan salah laku seksual terhadap bekas penyelidik ahli politik Yusoff Rawther.
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, desakan seperti itu juga dilakukan Anwar kepada mana-mana menteri yang disiasat ketika dia berada dibangku pembangkang.
“Sebenarnya kalau kes membabitkan perdana menteri saya cadangkan dia letak jawatan atau direhatkan. Biarkan siasatan secara terbuka.
“Kita pegang jawatan (apabila) pegawai nak siasat mana boleh. Ini standard bukan baru. Dulu pun itulah desakan dia kepada mana mana menteri kena siasat.
“(Perdana menteri) direhatkan dulu. Pegawai nak siasat tak bimbang. Tapi kalau kita dengan jawatan nak siasat kita mana berani,” katanya, ketika sidang media selepas Kuliah Jumaat Medan Ilmu, di Kota Bharu.
Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, gesaan itu bukan bermaksud untuk tidak berlaku adil terhadap Anwar tetapi mengelakkan persepsi negatif terhadapnya.
“Kita minta persepsi, bukan kita kata tidak adil tapi keadilan itu perlu dilihat adil.
“Saya cadang perdana menteri rehat untuk benarkan siasatan terbuka yang dihadapi, Yusoff Rawther yang dia terpaksa ke mahkamah kalau bicara nanti walaupun sekarang ditangguhkan,” tambah Tuan Ibrahim. @politiko.my