Selepas RESET: Wawasan Negara dan Ujian Sebuah Harapan

Dalam praktis siyasah walau di kota besar malah di hutan banat mana sekalipun, tidak semua peristiwa harus dibaca melalui lensa siapa menang dan siapa kalah. Ada waktu, sesuatu peristiwa lebih penting ditandai sebagai petunjuk kepada arah perjalanan sesebuah gerakan.

Know the true north. Konvensyen RESET dan pengumuman Parti Wawasan Negara di Kelantan baru-baru ini bolehlah membawa makna yang sedemikian. Bagi sesetengah pihak, ia cuma tak lebih dari pengumuman penubuhan parti baharu. Namun bagi ramai pemerhati dan aktivis, ia merupakan usaha menyusun semula political vehicle yang diharapkan mampu memperkukuh Perikatan Nasional (PN) menjelang PRU akan datang.

Persoalannya bukan nama parti, tetapi sejauh mana parti itu mampu menjadi wadah kepada aspirasi rakyat yang semakin kompleks dan mencabar. Nama Wawasan Negara sendiri mengandungi tuntutan yang besar.

Wawasan bukan hanya kemampuan melihat pilihan raya yang berikutnya, tetapi kemampuan membaca zeitgeist atau semangat zaman. Negara pula menuntut suatu horizon pemikiran yang melampaui sempadan kelompok dan kepentingan sempit.

Bila dengar amanat TGHH, yang jelas dizahir adalah penekanan terhadap istiqamah, prinsip dan kesatuan saf perjuangan. Menteri Besar Kelantan pula mengangkat kepentingan continuity serta kekuatan organisasi, manakala Datuk Seri Hamzah Zainuddin membawa mesej bahawa sudah tiba masanya sebuah platform yang lebih tersusun dibina bagi menghadapi cabaran politik masa depan.

Namun dalam dunia politik, niat yang baik hanyalah permulaan. Ujian sebenar bermula selepas dewan konvensyen dikosongkan dan pentas diturunkan. PRN Johor dan Negeri Sembilan bakal menjadi test case pertama sebelum medan yang lebih besar dalam PRU akan datang. Orang sebut litmus test pertama. Di situlah rakyat akan mula menilai sama ada Wawasan Negara mempunyai substance atau sekadar symbolism.

Wawasan Negara malah PN perlu berhenti hidup dengan romantisme kehadiran lebih 20,000 orang pada konvensyennya kerana itu baru permulaan. 20,000 bukanlah matlamat. Malah dalam praktis politik moden, kemenangan tidak lagi ditentukan semata-mata oleh jumlah ceramah atau kehadiran program.

Ia ditentukan oleh keupayaan mengurus data, memahami behavioural trend pengundi, menguasai media digital dan membina engagement yang berterusan dengan rakyat. Persoalannya, sejauh mana sayap pemuda, wanita dan jentera akar umbi benar-benar bersedia untuk beroperasi dalam landscape politik yang semakin sophisticated.

Cabaran yang lebih besar sebenarnya terletak pada soal idea dan tawaran dasar. Selama ini PN banyak mendapat mileage politik melalui kritikan terhadap kerajaan. Pendekatan tersebut berkesan ketika rakyat berada dalam keadaan marah dan kecewa. Namun keadaan hari ini jauh lebih nuanced.

Kerajaan MADANI sedang membina naratif bahawa mereka mempunyai performance yang boleh dipertahankan. Unjuran pertumbuhan ekonomi negara masih berada sekitar 4% hingga 5%, pelaburan asing terus meningkat, kedudukan fiskal diperkukuh dan beberapa reformasi institusi sedang dilaksanakan.

Mesej yang cuba dibawa kerajaan cukup mudah; ekonomi bergerak, pelaburan masuk dan negara berada di landasan yang betul. Sama ada rakyat menerima naratif itu sepenuhnya atau tidak merupakan persoalan yang berbeza, tetapi hakikatnya kerajaan kini mempunyai talking point yang lebih kukuh berbanding beberapa tahun lalu.

Keadaan ini menyebabkan PN tidak lagi boleh bergantung kepada strategi lama yang hanya berpusat kepada kritikan. Mereka perlu menawarkan alternative policy framework yang lebih meyakinkan dan lebih segar.

Di sinilah muncul jurang yang menarik untuk diperhatikan, iaitu jurang antara statistik dan lived reality rakyat. Walaupun beberapa indikator makro menunjukkan perkembangan positif, ramai masih merasakan tekanan ekonomi dalam kehidupan seharian.

Harga makanan terus meningkat, kos perkhidmatan semakin tinggi dan pemilikan rumah semakin jauh daripada kemampuan sebahagian besar generasi muda. Statistik tenaga buruh terkini menunjukkan kadar pengangguran meningkat kepada 3.0%, melibatkan lebih 500,000 rakyat yang masih belum memperoleh pekerjaan. Dari perspektif ekonomi, angka tersebut mungkin masih dianggap terkawal.

Namun dari perspektif sosial, angka itu tetap besar kerana di sebaliknya terdapat graduan yang masih mencari pekerjaan, keluarga yang sedang mengikat perut dan anak muda yang menangguhkan impian membina kehidupan sendiri. Politik akhirnya tidak diadili berdasarkan angka pertumbuhan semata-mata, tetapi berdasarkan sejauh mana rakyat merasakan kehidupan mereka benar-benar bertambah baik.

Begitu juga dengan isu subsidi yang bakal menjadi salah satu medan pertembungan idea paling penting menjelang pilihan raya akan datang. Kerajaan mempunyai hujah yang kuat mengenai rationalisation subsidi.

Dari sudut fiskal, negara tidak boleh selama-lamanya menanggung ketirisan dan subsidi bersifat pukal yang turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi. Namun politik tidak hanya berkaitan logik ekonomi.

Politik juga berkaitan rasa keadilan. Rakyat mahu diyakinkan bahawa setiap pengorbanan yang diminta daripada mereka turut disertai dengan disiplin yang sama di peringkat kerajaan. Mereka mahu melihat hasil penjimatan diterjemahkan kepada pendidikan yang lebih baik, sistem kesihatan yang lebih cekap, pengangkutan awam yang lebih berkualiti dan jaringan keselamatan sosial yang benar-benar berkesan.

Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat, sebarang langkah pembaharuan fiskal perlu disertai dengan naratif empati dan bukti yang jelas bahawa manfaatnya kembali kepada rakyat.

Selain itu, mana-mana parti yang bercita-cita menjadi kerajaan juga perlu bercakap tentang isu yang lebih besar daripada kitaran pilihan raya lima tahun sekali. Dunia sedang berdepan perubahan iklim, gangguan rantaian bekalan makanan, persaingan teknologi dan ketidaktentuan geopolitik yang semakin kompleks.

Soal keselamatan makanan, tenaga, sumber air dan kelestarian alam sekitar tidak lagi boleh dianggap isu teknikal yang hanya dibincangkan oleh pakar. Ia telah menjadi persoalan survival negara. Dalam tradisi Islam terdapat konsep fiqh al-awlawiyyat, iaitu kefahaman tentang keutamaan yang harus didahulukan berdasarkan tuntutan zaman.

Sebuah parti yang mahu memimpin negara mesti mampu menunjukkan bahawa mereka memahami keutamaan-keutamaan baharu ini dan mempunyai pelan yang jelas untuk menghadapinya.

Dalam masa yang sama, Kerajaan MADANI turut memperoleh kelebihan politik daripada naratif good governance dan kerajaan bersih. Setelah sekian lama rakyat diasak dengan isu ketirisan, salah guna kuasa dan pelbagai kontroversi yang mencalar keyakinan terhadap institusi negara, tema integriti mempunyai nilai politik yang tinggi.

Walaupun masih terdapat kritikan terhadap pelaksanaan dan konsistensinya, persepsi bahawa integriti dan reformasi institusi sedang diberi perhatian merupakan modal politik yang tidak boleh dipandang ringan.

Oleh sebab itu, PN dan Wawasan Negara tidak cukup sekadar mempersoalkan kelemahan kerajaan. Mereka perlu menunjukkan model tadbir urus yang lebih baik, lebih accountable, lebih transparent dan lebih credible.

Dalam politik hari ini, rakyat bukan sahaja mahu tahu apa yang salah dengan kerajaan semasa, tetapi juga bagaimana pihak yang menawarkan diri sebagai alternatif akan melakukan perkara yang lebih baik.

Dalam kerangka demokrasi yang sihat, kewujudan pembangkang yang kuat bukan ancaman kepada negara, bahkan merupakan syarat penting kepada lahirnya kerajaan yang lebih baik. Atas sebab itu, ramai yang meletakkan harapan agar kemunculan Wawasan Negara dapat menyuntik nafas baharu kepada blok pembangkang.

Harapan tersebut bukan semata-mata untuk memenangi pilihan raya, tetapi untuk melahirkan sebuah gerakan yang lebih energetik, lebih segar dan lebih berwibawa sebagai government in waiting.

Sejarah politik mutakhir negara menunjukkan bagaimana Pakatan Harapan sebelum 2018 berjaya membina momentum sebagai sebuah gerakan massa yang besar, digerakkan oleh idealisme perubahan, diperkukuh oleh kepelbagaian kepimpinan dan berfungsi secara efektif sebagai pembangkang di Parlimen.

Ketika itu, rakyat melihat adanya keseimbangan kuasa yang mampu mencabar dominasi UMNO yang telah mengakar sejak merdeka. Sama ada seseorang bersetuju atau tidak dengan PH hari ini, hakikat tersebut sukar dinafikan.

Justeru, cabaran yang sedang dihadapi PN dan Wawasan Negara jauh lebih besar daripada soal menambah keahlian atau memperkukuh organisasi. Mereka perlu membina keyakinan bahawa terdapat sebuah pasukan yang bersedia memerintah, memiliki dasar yang jelas, kepimpinan yang kompeten dan keupayaan mengurus negara dalam suasana ekonomi serta geopolitik yang semakin kompleks.

Anak muda khususnya sedang memerhati dengan penuh perhatian. Mereka tidak terlalu terikat dengan sejarah pertelagahan politik generasi terdahulu. Mereka lebih berminat kepada persoalan pekerjaan masa depan, AI, digital economy, social mobility, kos perumahan dan peluang membina kehidupan yang bermaruah. Mereka tidak mencari hero politik. Mereka mencari harapan.

Mereka mahu melihat siyasah yang menggabungkan nilai, akhlak dan kompetensi dalam satu kerangka yang meyakinkan. Dalam konteks ini, kehadiran ramai anak muda di Konvensyen RESET wajar dibaca sebagai petanda bahawa masih wujud ruang untuk menawarkan alternatif politik.

Namun ruang itu tidak akan kekal terbuka selama-lamanya. Ia perlu diisi dengan idea yang bernas, dasar yang realistik dan kepimpinan yang mampu membina kepercayaan.

Konvensyen RESET telah berlalu dan Parti Wawasan Negara telah diumumkan. Namun perjalanan sebenar baru sahaja bermula. Akhirnya rakyat tidak akan menilai berdasarkan saiz dewan, jumlah bendera atau gemuruh tepukan.

Mereka akan menilai berdasarkan kemampuan sesebuah gerakan menawarkan solusi yang lebih baik daripada lawannya. Dalam bahasa politik yang paling sederhana, rakyat tidak lagi bertanya siapa yang paling kuat mengkritik. Rakyat sedang bertanya siapa yang paling bersedia untuk memimpin. Itulah ujian sebenar Wawasan Negara.

Pada masa yang sama, itulah juga ujian sebenar PN untuk membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pembangkang yang cekap mengkritik, tetapi sebuah coalition yang benar-benar bersedia memikul amanah pemerintahan apabila tiba waktunya.

Dalam demokrasi yang matang, kerajaan yang baik lahir daripada kewujudan pembangkang yang lebih baik. Jika ruang itu berjaya diisi oleh PN dan Wawasan Negara, manfaatnya bukan hanya kepada sebuah parti atau gabungan politik, tetapi kepada keseluruhan masa depan demokrasi negara.

Ini cuma tulisan reflektif tanpa memencilkan pemerincian cabaran-cabaran masa depan, trend dan kehendak anak muda, kompetensi, kekuatan idealisme mahupun kesediaan untuk kembali ke forum penyatuan bangsa seperti hangat diperkata di Kuala Lumpur.

Parlimen Malaysia akan jadi lebih baik? Sebagai rakyat, kita fokus untuk tunggu dan lihat.

Muhammad Suhaimi, seorang penyelidik PhD dalam bidang Ekonomi Politik,USIM

Artikel ini telah disiarkan di facebook beliau, 15 Jun 26. Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Perpaduan Melayu Dalam Lanskap Politik Baharu

Pelbagai inisiatif dan gagasan kini bergerak secara berasingan. Ahmad Zahid Hamidi, misalnya, mengangkat konsep “Rumah Bangsa” dalam kerangka UMNO, manakala Muhyiddin Yassin menonjolkan pendekatan tersendiri melalui gagasan Ikatan Prihatin Rakyat. 
Read More

BERSATU Yang Berpecah

PAS, sebagai parti Melayu-Islam terbesar, wajar mencari rakan baru atau, lebih afdal, bertindak sebagai penyatu. Ia tidak boleh berharap dan bergantung kepada BERSATU lagi.
Read More
Total
0
Share