
KUALA LUMPUR, 2 Ogos 25 – Kerajaan didesak mendedahkan apa dasar yang terpaksa dikorbankan sehingga membolehkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju menurunkan kadar tarif timbal balas terhadap negara ini daripada 25% kepada 19%, kata Naib Presiden Bersatu Datuk Radzi Jidin.
Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, rakyat berhak mengetahui harga sebenar yang dibayar untuk mencapai hasil rundingan tersebut.
“Pada awalnya, AS mengumumkan tarif sebanyak 24% ke atas Malaysia, rundingan yang dibuat kemudiannya menyebabkan kadar itu dinaikkan kepada 25% pada 8 Julai.
“Rundingan lanjut selepas itu menyaksikan kadar tersebut diturunkan sebanyak 6%, daripada 25% kepada 19%.
“Soalnya, apakah dasar-dasar kerajaan yang telah dikorbankan untuk mendapatkan penurunan ini?” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Radzi turut merujuk laporan akhbar The Straits Times dalam kenyataan itu yang mendakwa Malaysia bersetuju mengiktiraf pensijilan halal dari AS dan membekalkan unsur nadir bumi (REE) kepada negara itu sebagai sebahagian daripada konsesi rundingan.
“Setakat ini, kerajaan belum menafikan laporan tersebut,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.