MRSM Tun Abdullah Pengiktirafan Jasa Pak Lah

KUALA LUMPUR, 1 Mei 25 – Penjenamaan semula MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan pengiktirafan terhadap segala jasa bekas perdana menteri itu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sehubungan itu Umno katanya menyokong penjenamaan semula MRSM itu bersempena nama bapa pembangunan modal insan itu.

“Ini adalah sebahagian daripada pengiktirafan terhadap segala jasa dan sumbangan besar bekas presiden Umno dan perdana menteri Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai bapa pembangunan modal insan.

“Umno menyokong penjenamaan semula MRSM Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi yang akan dimasyhurkan secara rasmi pada 12 Mei 2025 oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang bertanggungjawab kepada MARA, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya, dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata Umno turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengundi Dun Ayer Kuning atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“…sehingga memungkinkan kemenangan dengan majoriti besar di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) kecuali satu sahaja,” tambahnya.

Selain itu katanya, Umno akan mengadakan Konvokesyen Sekolah Patriotik Umno kali pertama bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-79 pada 11 Mei 2025 bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share