
Apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mengemukakan Konsensus Nasional Baru pada Mei lalu, ia menunjukkan PN mempunyai pelan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.
Matlamatnya ialah membaiki apa-apa yang rosak, terutamanya ekonomi dan politik. Asasnya ialah pemimpin yang jujur, inklusif dan adil.
Dalam kerangka inilah letaknya perdebatan hak 40% hasil negeri Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Perdebatan ini ialah tentang membaiki apa-apa yang rosak. Sabah mesti diberikan haknya dan kerajaan persekutuan mesti jujur, inklusif dan adil melaksanakannya.
Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi PN Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (bertanding di Sugut dalam PRN Sabah kali ini) menjuarainya bersungguh-sungguh. Ronald sentiasa membangkitkannya dengan bersemangat di Dewan Rakyat, di Jelajah Rakyat Sabah 2025 dan di mana jua.
Isu ini diberi asas undang-undang oleh Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Ia memberi asas bagi Sabah menuntut 40% daripada hasil bersih yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah. Tujuannya untuk membantu pembangunan Sabah.
Perkara 112C memperuntukkan hak 40% tersebut. Manakala Perkara 112D memperuntukkan jumlah pemberian khas daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah perlu dikaji semula setiap lima tahun. Kedua-dua perkara ini bertujuan menjaga keseimbangan pembangunan antara negeri-negeri dalam Malaysia.
Perkara 112C dan 112D membezakan antara hak Sabah (40% tersebut) dengan pemberian kepada Sabah oleh kerajaan persekutuan.
Hak 40% mesti diberikan. Katakanlah, untuk tahun ini, amaunnya RM4 bilion (40% daripada hasil Sabah sebanyak RM10 bilion). Di samping itu, berapa amaun kerajaan persekutuan hendak beri kepada Sabah – terserahlah.
Tetapi kerajaan persekutuan tidak boleh kata ia memberi RM17 bilion, iaitu lebih banyak daripada RM4 bilion. RM17 bilion adalah pemberian. RM4 bilion adalah hak. Kerajaan persekutuan perlu membetulkan matematiknya.
Oleh kerana Perkara 112C dan 112D tidak dilaksanakan selama ini, maka pada 2022, Sabah Law Society (SLS) memfailkan semakan kehakiman.
Hasilnya, pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan persekutuan mempunyai kewajipan perlembagaan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40% tersebut, iaitu sebagaimana diperuntukkan Perkara 112C dan 112D.
Tetapi, reaksi kerajaan persekutuan terhadap keputusan mahkamah tersebut flip-flop. Mula-mula, ia kata tidak akan membuat rayuan. Lepas itu, ia memfailkan rayuan terhadap beberapa asas penghakiman berkenaan.
Apabila kerajaan persekutuan merayu terhadap beberapa asas penghakiman berkenaan, ini bermakna kerajaan persekutuan menolak dapatan-dapatan yang membawa kepada keputusan mahkamah tersebut.
Jadi, di sebalik kerajaan persekutuan menyatakan tidak merayu terhadap hak 40% itu, tetapi sebenarnya, rayuan kerajaan persekutuan terhadap beberapa asas penghakiman berkenaan adalah, pada hakikatnya, berupa rayuan terhadap keseluruhan keputusan mahkamah tinggi tersebut, iaitu berkenaan hak 40%.
Dengan kata-kata lain, adalah jelas bahawa kerajaan persekutuan tidak berhasrat melaksanakan hak 40% Sabah itu!
Ini isu hak Sabah, bukannya isu bantuan atau pemberian kepada Sabah oleh kerajaan persekutuan.
Ini hak Sabah yang sama-sama menubuhkan Malaysia.
Kita mesti jujur dalam memberikan dan melaksanakan hak Sabah ini.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.