Oleh Shamsul Akmar

Sesuatu yang pelik berlaku selepas persidangan Parlimen pada Selasa lalu, di mana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong hak warga asing untuk mendapatkan bahan api bersubsidi.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, Anwar mendakwa bahawa Muhyiddin telah mempersoalkan keputusan Kerajaan untuk tidak memberikan subsidi petrol kepada warga asing.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid, yang meminta PM menamakan pemimpin pembangkang yang menyokong agar warga asing menikmati subsidi bahan api.
Anwar tidak sekadar menjawab. Beliau mengambil peluang untuk “memberi kuliah” kepada Rosol tentang perlunya membuat kerja rumah sebelum mengajukan soalan, sambil menegaskan bahawa beliau sendiri membuat kerja rumah sebelum hadir ke Dewan Rakyat.
Bagi sesetengah pihak, cara jawapan yang disampaikan secara sinis tidak wajar bagi seorang PM. Namun, dalam gelanggang politik yang ganas di mana hampir tiada ruang diberi dan tiada belas diambil, jawapan sebegitu sudah dijangka.
Walau bagaimanapun, ia mungkin boleh dianggap sebagai satu lagi hari “menang” di Parlimen bagi PM — bukanlah kemenangan yang fantastik atau luar biasa, tetapi cukup untuk membuatkan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang pulang, seperti di dalam peribahasa Inggeris, dengan “ekor di antara kaki” mereka.
Malah, ketika PM memberi kuliah kepada Rosol, beliau mendapat sorakan daripada Ahli Parlimen penyokong kerajaan di belakangnya. Namun, Muhyiddin memilih untuk menjadi pengacau.
Walaupun tidak hadir di Parlimen ketika tuduhan itu dilemparkan, Muhyiddin pantas bertindak. Menggunakan platform media sosial, beliau menafikan tuduhan itu sepenuhnya, sambil menyatakan kenyataan Anwar adalah fitnah dan tidak benar.
Lebih jauh, Muhyiddin mencabar Anwar supaya membuktikan tuduhannya.
“Saya nak tahu dia baca di mana? Buku mana? Video mana? Atau sidang media mana yang kononnya saya buat? Tak ada.
“Ini bermakna Perdana Menteri tidak membuat semakan yang betul dan membuat kenyataan di Parlimen seolah-olah setiap kenyataan di Parlimen adalah benar. Saya kata ini satu pembohongan,” kata Muhyiddin seperti dipetik portal berita Malaysiakini.
Keesokan harinya, Muhyiddin hadir ke Parlimen dan menuntut Anwar memohon maaf serta menarik balik tuduhan tersebut.
Mengambil maklum bahawa ada kekebalan untuk mereka yang bercakap di Parlimen, Muhyiddin menegaskan bahawa fitnah tetap dilarang sama ada di dalam atau di luar dewan yang mulia itu. Namun, apa yang berlaku di antara tempoh masa tersebut adalah satu plot yang lebih berbelit.
Daripada mengemukakan bukti untuk menyokong tuduhan Anwar, Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebaliknya mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat sama ada Muhyiddin pernah membuat kenyataan seperti yang dituduh oleh Anwar.
Arahan itu dikeluarkan selepas Muhyiddin membuat penafian di media sosial. Namun MCMC menyatakan bahawa Muhyiddin dipanggil sebagai saksi dan bukannya suspek.
Dalam satu kenyataan, PMO berkata pihaknya mengambil maklum penafian yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pagoh (Muhyiddin) berhubung dakwaan bahawa beliau mempertahankan warga asing dalam isu subsidi bersasar RON95.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab dan menjunjung ketelusan, Perdana Menteri telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.
Sungguh menghairankan PMO boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu sedangkan isu ini sebenarnya boleh diselesaikan dengan mudah.
Pertama sekali, PM berkata beliau telah membuat kerja rumah dan menegur Rosol kerana tidak berbuat demikian.
Jika benar beliau telah membuat kerja rumah, pasti ada dokumen, rakaman, hantaran atau sumber lain yang menjadi asas kepada tuduhannya terhadap Muhyiddin.
Kalaupun bahan itu tidak berada dalam simpanannya atau pembantunya -Internet, Google, ChatGPT, bahkan DeepSeek – boleh digunakan untuk mendapatkan semula maklumat tersebut.
Jika tiada bukti yang menyokong tuduhan itu, atau jika PM telah memetik berita palsu, beliau sepatutnya mengaku, berjiwa besar untuk memohon maaf, dan terus bergerak ke hadapan. Itulah yang sepatutnya, mengikut tertib semula jadi sesuatu perkara di dalam keadaan sebegini.
Malangnya, PM kini berada dalam keadaan tertekan; bukan sahaja masih terhuyung-hayang akibat himpunan besar-besaran menuntut beliau berundur dua minggu lalu, malah beliau juga sering dituduh berbohong setiap kali beliau bersuara.
Benar atau tidak, ia tidak lagi satu kekaburan malah ia semakin jelas dan menonjol di celah-celah jurang politik yang wujud.
Lebih memburukkan keadaan adalah tuduhan berulang kali oleh PM bahawa bekas-bekas pemimpin telah menyapu kekayaan negara, namun apabila dicabar untuk membuktikan tuduhan itu, beliau masih belum mengemukakan apa-apa yang konkrit.
Hakikat bahawa beliau menggunakan pentas politik untuk membuat tuduhan itu hanya mengukuhkan persepsi bahawa beliau sekadar membina naratif populis dan retorik.
Sebelum Muhyiddin menuduhnya sebagai pembohong, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memfailkan saman fitnah terhadap Anwar hampir tiga tahun lalu, dan kes itu dijadualkan untuk dibicarakan minggu depan.
Kelewatan itu tidak membantu persepsi awam bahawa PM membuat tuduhan tidak berasas, dan apabila dicabar, beliau gagal membuktikannya.
Walaupun mengulang keburukan lawan politik adalah strategi klasik untuk memburukkan mereka, tetap mesti ada unsur kebenaran.
Jika tidak, ia akan dilihat sekurang-kurangnya sebagai mempraktikkan prinsip Goebbels — ulangi pembohongan sekerap mungkin sehingga ia menjadi kebenaran.
Namun pendekatan ini mungkin sudah lapuk dan mudah dipatahkan dengan perubahan drastik ekosistem maklumat sejak 1940-an.
PM mungkin tidak suka mendengarnya, tetapi naratif-naratif ini sedang membentuk imej beliau dan Kabinetnya.
Walaupun masih berbaki lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum perlu diadakan, benih-benih ketidakpuasan hati dan ketidakpercayaan ini semakin menjalar tanpa henti. Mungkin sudah terlambat untuk diperbaiki. Kerana butiran jam pasir itu hampir kosong.
Artikel ini telah disiarkan di portal Khabarnya.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my