
KUALA LUMPUR, 30 NOV 25 – Selepas berdepan ‘eksodus’ besar-besaran kepimpinan Sabah seusai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), nasib Bersatu di negeri itu terus merudum apabila kesemua 33 calonnya tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Keputusan itu amat berbeza berbanding pencapaian Bersatu pada PRN 2020 apabila parti berkenaan berjaya memenangi 11 kerusi. Situasi bertambah perit apabila PAS yang merupakan rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) mencipta sejarah menawan kerusi Karambunai, sekali gus memberikan tamparan politik kepada Bersatu.
Ketua PN Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang menjadi antara pertaruhan utama parti itu, turut tumbang kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), James Ratib, yang mempertahankan kerusi Sugut untuk penggal keempat.
Memetik laporan FMT, keputusan itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan Bersatu kehilangan jentera dan sokongan akar umbi selepas hampir keseluruhan kepimpinan dan wakil rakyatnya keluar parti pada penghujung 2022.
Pada Disember 2022, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, mengetuai tindakan keluar Bersatu secara besar-besaran dan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan. Langkah itu menyebabkan Bersatu hilang semua wakil dalam Dewan Undangan Negeri ketika itu.
Kekalahan teruk di Sabah ini dijangka terus menekan kedudukan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kini berdepan rasa tidak puas hati dalaman serta desakan agar beliau berundur menjelang PRU16.
Desakan supaya Muhyiddin menyerahkan kepimpinan kepada timbalannya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dijangka semakin kuat susulan keputusan PRN Sabah.
Rakan komponen PN, Parti Gerakan, turut melalui nasib sama apabila tiga calonnya di Luyang, Elopura dan Tanjong Papat ditewaskan dengan majoriti besar oleh Warisan, mengekalkan rekod prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya di Sabah. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.