
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 25 – Kerajaan digesa menjelaskan sama ada dasar berkaitan nadir bumi (REE) sedia ada yang tidak membenarkan eksport dalam bentuk bahan mentah dikompromi dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, kerajaan perlu jelaskan perkara itu memandangkan kerugian dianggarkan berbilion ringgit sekiranya REE dieksport secara mentah ke luar negara.
“Saya ingin dapat penjelasan kerajaan dalam rundingan dengan AS, dibuat keputusan kerajaan akan eksport REE ke AS. Adakah kerajaan tukar polisi daripada tak eksport bahan mentah kepada perubahan baru,” kata bekas menteri alam sekitar dan air itu.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan, pihaknya menuntut penjelasan segera berhubung perkara itu memandangkan kerajaan sebelum ini membuat keputusan besar dan pihaknya turut menyokong keputusan tersebut.
Antara keputusannya adalah REE perlu diproses di dalam negara sebelum dieksport.
“Kita tahu kesannya kalau negara import secara terus negara kerugian bilion ringgit. Maka saya ingin dapatkan penjelasan apakah polisi diubah kerajaan dalam menghantar dan mengurus REE negara,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau turut menyokong saranan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar ditubuhkan syarikat milik kerajaan bagi mengurus sumber Ree seperti mana Petronas mengurus petroleum dan gas.
Namun, beliau mengingatkan agar isu berkaitan royalti tidak berulang.
“Saya sokong saranan ketua pembangkang agar satu agensi khas bagi kendalikan REE. Sebagaimana penemuan bijih timah sebabkan pembangunan berlaku di Perak, Selangor, kali ini kita harapkan penemuan REE dapat jadi aset pemangkin pembangunan wilayah di pantai timur Kelantan, Terengganu Pahang dan seumpama.
“Tetapi kesilapan petroleum tak perlu diulang, di mana negeri pengeluar gagal dapat hak royalti sebagaimana dijanji.
“Kita bimbang REE ini. Bila pembangunan dibuat negeri gagal dapat hasil mereka,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.