
KUALA LUMPUR, 10 DIS 25 — Sekumpulan pemimpin Bersatu Perak tampil mendesak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya berundur secara terhormat demi masa depan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Jurucakapnya, Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam kenyataan berkata, kumpulan itu menyifatkan kedudukan Muhyiddin termasuk usia, isu peribadi serta kes mahkamah yang masih berjalan sebagai beban yang boleh menjejaskan penerimaan rakyat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Kami khuatir PRU16 nanti Bersatu akan ditolak di semua kawasan jika perubahan tidak dilakukan sekarang, dengan penuh hormat, Tan Sri perlu bermuhasabah,” katanya.
Mereka turut merujuk kontroversi melibatkan ahli keluarga Muhyiddin yang menjadi bahan perbahasan di Dewan Rakyat, yang menurut mereka menjejaskan imej parti.
“Apa lagi yang mahu kami pertahankan? Perkara ini menjadi liabiliti dan membuka ruang serangan terhadap Bersatu sebagai parti Melayu dominan,” ujar kumpulan itu.
Menegaskan mereka bukan ahli biasa, tetapi kepimpinan bahagian yang memenangkan kerusi DUN dan Parlimen pada PRU lalu, kumpulan itu berkata Bersatu perlu melalui proses “rejuvenasi” untuk kekal relevan.
“Kami tidak mahu melihat Tan Sri menjadi ‘Najib Razak versi Bersatu’. Apabila seseorang pemimpin menjadi liabiliti, parti akhirnya tewas kerana enggan berubah,” tegas mereka.
Mereka menggesa Muhyiddin mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan dalam tempoh beberapa minggu terakhir 2025 ini demi memberi ruang kepada generasi baharu meneruskan perjuangan parti.
“Jika Tan Sri benar-benar sayangkan Bersatu, lepaskanlah untuk masa depan parti.
“Peremajaan kepimpinan adalah kunci memastikan PN terus diterima rakyat,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.