Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini memasuki fasa yang lebih kritikal apabila Lembaga Disiplin parti dilihat bukan lagi berfungsi sebagai mekanisme tatatertib, sebaliknya dimanfaatkan sebagai instrumen politik untuk mengukuhkan kuasa satu kem tertentu, khususnya kem yang setia kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Panggilan terhadap Timbalan Presiden dan beberapa pemimpin lain ke Lembaga Disiplin bukan sekadar isu salah laku organisasi. Ia memperlihatkan satu pola yang konsisten: setiap perbezaan pandangan, kritikan dalaman atau percubaan menyusun semula hala tuju parti segera ditafsir sebagai ancaman disiplin.
Dalam konteks ini, disiplin tidak lagi bererti kepatuhan kepada perlembagaan parti, tetapi kesetiaan mutlak kepada kepimpinan semasa.
Masalah pokoknya ialah kegagalan membezakan antara disiplin organisasi dan perbezaan politik yang sah. Dalam mana-mana parti politik yang matang, perbahasan dalaman, persaingan idea dan perbezaan strategi adalah nadi kekuatan. Namun dalam Bersatu hari ini, perbezaan itu dianggap sabotaj, manakala kesetiaan membuta tuli diraikan sebagai disiplin.
Lebih membimbangkan, penggunaan Lembaga Disiplin berlaku ketika Bersatu sedang bergelut dengan isu kepercayaan akar umbi, kelemahan struktur dan kegagalan memperluas sokongan rakyat.
Daripada menilai kelemahan kepimpinan secara jujur, kem Muhyiddin memilih pendekatan penyisihan dan pembersihan politik, seolah-olah krisis parti berpunca daripada individu tertentu, bukan daripada kegagalan kepimpinan kolektif.
Pendekatan ini mengulangi kesilapan sejarah banyak parti politik: menjadikan alat parti sebagai senjata untuk mengekalkan kuasa, bukan sebagai mekanisme pembetulan. Ia bukan sahaja merosakkan legitimasi Lembaga Disiplin, malah menghakis keyakinan ahli bahawa keadilan dalaman masih wujud.
Hakikatnya, tindakan memanggil dan menyiasat pimpinan kanan parti secara agresif memberi isyarat bahawa Bersatu sedang bergerak ke arah parti yang tertutup, defensif dan berorientasikan survival kepimpinan, bukannya pembaharuan.
Dalam jangka panjang, budaya ini akan menolak keluar tokoh berkaliber, melemahkan dinamika dalaman dan akhirnya mempercepatkan proses pelapukan parti itu sendiri.
Lebih ironik, Bersatu lahir atas semangat melawan autoritarianisme dan penyalahgunaan kuasa dalam parti lama. Namun hari ini, parti itu sendiri sedang mengulangi corak yang sama — menggunakan struktur untuk menekan, bukan membina.
Jika kem Muhyiddin terus mempertahankan pendekatan ini, Bersatu bukan sahaja berdepan risiko perpecahan dalaman, tetapi juga kehilangan kredibiliti moral untuk berbicara soal reformasi, keadilan dan demokrasi. Sebuah parti yang gagal mengurus perbezaan secara adil tidak mungkin diyakini untuk mengurus negara.
Persoalannya kini bukan siapa yang akan digantung atau dipecat, tetapi adakah dengan mengambil tindakan disiplin ke atas pemimpin tertentu, akan menjamin “poster Boy’ menjadi PM? Adakah ini akan menambah sokongan undi kepada BERSATU yang kini imejnya semakin buruk dikalangan rakyat?
Kata orang dulu – biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan. @analitiko
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.