Permohonan Imuniti Gagal, Imej ‘Madani’ Hanya Ilusi

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan imuniti Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam kes saman sivil oleh Muhammed Yusoff Rawther membuka lembaran baharu dalam perdebatan mengenai tanggungjawab moral dan undang-undang seorang pemimpin tertinggi negara.

PMX menaiki tampuk kuasa dengan naratif moral yang mahu membanteras penyalahgunaan kuasa, menjunjung prinsip integriti, dan membersihkan sistem pentadbiran negara.

Namun, apabila berhadapan dengan saman sivil berkaitan dakwaan serangan seksual, prinsip itu kelihatan tak terpakai.

Permohonan imuniti yang dikemukakan oleh PMX memberi gambaran seolah-olah beliau mahu meletakkan diri di luar jangkauan undang-undang dalam hal yang menyentuh kepentingan peribadi.

Walaupun secara teknikal beliau mencuba menggunakan kedudukan rasmi sebagai pelindung perundangan, secara moral ia bercanggah dengan naratif politik yang beliau bina sejak dua dekad lalu.

Tindakan PMX untuk menuntut imuniti dalam kes ini boleh ditafsirkan sebagai cubaan mengelak proses kehakiman yang telus.

Meskipun beliau mendakwa tindakan plaintif bersifat bermotif politik, keputusan mahkamah untuk tidak menerima hujahan imuniti membayangkan bahawa kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak membebaskannya daripada tanggungjawab sivil.

Kes ini membuka ruang besar kepada kritikan bahawa kerajaan Madani mungkin tidak sekuat seperti yang diuar-uarkan dalam memisahkan kuasa antara eksekutif dan kehakiman.

Malah, ia menguatkan persepsi bahawa apabila berdepan isu peribadi, pemimpin reformasi juga memilih laluan kuasa berbanding ketelusan.

Penolakan imuniti oleh mahkamah bukan sahaja satu tamparan terhadap PMX, tetapi satu pengesahan prinsip yang selama ini beliau laungkan: tiada siapa boleh mengatasi undang-undang.

Ironinya, prinsip itu kini menjerat beliau sendiri. Mahkamah menegaskan bahawa saman peribadi berkaitan dakwaan perbuatan sebelum menjadi Perdana Menteri tidak boleh dilindungi oleh imuniti jawatan.

Di mata penyokong reformasi, episod ini boleh dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan idealisme. Di mata pengundi atas pagar, ia mungkin menambah rasa kecewa terhadap kegagalan kelas politik Malaysia untuk berubah. Dan di kalangan pembangkang, ini ialah peluru retorik yang ampuh.

Sekiranya PMX tidak memberikan penjelasan yang tuntas dan telus — bukan sekadar kenyataan akhbar klise — maka krisis ini boleh menjadi liabiliti politik yang berpanjangan menjelang PRU16.

PMX kini berada di persimpangan antara prinsip dan survival politik. Sama ada beliau mampu keluar dari kemelut ini dengan maruah dan kredibiliti masih belum pasti. Yang pasti: satu demi satu ilusi tentang kepimpinan ‘Madani’ mula terlerai. @analitiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share