
JOHOR BAHRU | 20 Apr 26 — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mempersoalkan penggunaan istilah 3R; race, religion dan royalty, yang menurutnya boleh mengganggu ruang perbincangan terbuka dalam masyarakat.
Dalam satu kenyataan, beliau menegaskan bahawa sebagai seorang Muslim, panduan hidupnya termasuk dalam kerangka menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Imran ayat 104. Namun, beliau memilih untuk tidak melabel pendekatan itu sebagai “politik Islam”.
“I’m not going to use that term… tapi pada saya as a Muslim, itulah panduan saya,” katanya, merujuk kepada penglibatannya dalam bidang sosial, pendidikan dan perundangan sebelum memilih politik sebagai platform perjuangan.
Saifuddin turut mempertahankan hak untuk membincangkan isu berkaitan Melayu dan Islam tanpa terus dikaitkan dengan sensitiviti melampau.
“Saya orang Melayu, takkan saya tak boleh bercakap tentang Melayu… Apa salahnya saya bercakap tentang Melayu dan apa salahnya saya bercakap tentang Islam,” ujarnya dalam satu podcast Plato Series Statement di Johor Bahru, baru-baru ini.
Menurut beliau, penggunaan istilah 3R dalam sesetengah keadaan boleh mengekang wacana yang sihat, walaupun perbincangan tersebut dilakukan dalam kerangka yang bertanggungjawab.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa perbincangan tentang identiti tidak seharusnya membawa kepada kebencian terhadap pihak lain. Beliau merujuk Surah Al-Hujurat ayat 13 yang menekankan kepentingan saling mengenali antara kaum dan agama.
“Orang Islam, orang bukan Islam harus kenal-mengenal. Tak boleh membenci kepada orang bukan Islam. Tak boleh membenci kepada orang bukan Melayu,” katanya.
Saifuddin turut mengangkat contoh sejarah melalui kehidupan Nabi Muhammad SAW di Madinah yang menurutnya membentuk sebuah masyarakat inklusif dengan kewujudan pelbagai kelompok agama dan kaum di bawah satu perlembagaan.
“Inklusif, adil, saksama,” katanya merujuk kepada prinsip yang terkandung dalam Sahifah Madinah.
Kenyataan beliau dilihat membuka semula perbahasan tentang keseimbangan antara kebebasan bersuara dan sensitiviti dalam membincangkan isu identiti di Malaysia, khususnya dalam konteks politik semasa.
Berdasarkan rekod, siasatan pihak berkua berkaitan isu 3R turut melibatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau dikatakan telah disoalsiasat berhubung isu 3R sebanyak 13 kali sejak melancarkan gerakan politik Melayu dikenali sebagai ‘Proklamasi Orang Melayu’. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.