PAS Kaji Strategi PRN Johor, Sasar Tambah Kerusi Di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR | 5 Jun 26 — PAS masih mengkaji strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk jumlah kerusi yang akan ditandingi sebelum keputusan muktamad dibuat.

Presiden PAS berkata parti itu akan mendengar taklimat daripada Badan Perhubungan PAS Negeri Johor bagi menilai kekuatan, pengaruh serta peluang sebelum menentukan pendekatan terbaik.

“Pada dasarnya kita akan bertanding, tetapi kita akan lihat dari segi pengaruh kita, peluang untuk berkempen dan calon-calon. Alhamdulillah PAS mempunyai ramai tokoh yang berpotensi menjadi calon,” katanya.

Menurut beliau, keputusan sama ada PAS akan bertanding secara solo, melalui Perikatan Nasional (PN) atau menggunakan bentuk kerjasama lain masih belum dimuktamadkan.

“Belum muktamad lagi. Itu baru pandangan. Kita akan lihat kewajaran dan mana yang lebih baik untuk kita pertandingkan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan terdapat pertemuan antara pemimpin PAS dan UMNO baru-baru ini, namun menyifatkannya sebagai pertemuan biasa.

“Kalau orang nak jumpa kita, kita jumpa. Memang ada perjumpaan dan saya dimaklumkan mengenainya, tetapi saya tidak terlibat secara langsung,” katanya.

Sementara itu, bagi PRN Negeri Sembilan, Presiden PAS berkata parti itu akan bertanding dan menyasarkan untuk menambah jumlah kerusi selepas berjaya memenangi tiga kerusi pada pilihan raya lalu.

“Kita sudah menang tiga kerusi di Negeri Sembilan dan kita akan cuba tambah lagi kerana ada banyak kawasan yang majoritinya tipis, kurang daripada seribu undi,” katanya.

Menurutnya, PAS melihat peluang untuk berkembang berdasarkan keadaan politik semasa serta kewujudan kawasan yang mempunyai perbezaan majoriti kecil. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share