
KUALA LUMPUR | 5 Jun 26 — Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kini mencetuskan persoalan dari sudut proses dan kesahan perlembagaan, kata peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla.
Beliau berkata, persoalan yang timbul bukan berkaitan merit pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya melibatkan isu proses yang berlaku dalam tempoh berlakunya pertikaian tersebut.
Menurut beliau, apabila terdapat pertikaian mengenai kedudukan institusi diraja Negeri Sembilan sebelum pembubaran DUN, perkara itu perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang persoalan selepas pilihan raya.
“Isu sekarang ialah adakah pembubaran Dewan Undangan Negeri Sembilan yang diumumkan itu sah atau tidak, dan bagaimana hendak menangani perkara ini,” katanya kepada politiko.
Haniff berkata, persoalan tersebut penting kerana ia mempunyai kaitan dengan perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.
Katanya, sekiranya isu kesahan pembubaran tidak diperjelaskan lebih awal, ia boleh membuka ruang kepada persoalan sama ada proses pilihan raya yang dijalankan selepas itu mempunyai asas yang kukuh.
“Kita tidak mahu ada persoalan kemudian sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan PRN atau tidak, dan sama ada PRN yang diadakan itu sah atau tidak,” katanya.
Menurut beliau, penyelesaian perlu dibuat seawal mungkin bagi memastikan rakyat Negeri Sembilan mendapat keyakinan terhadap proses demokrasi yang bakal berlangsung.
Beliau berpandangan, perkara itu perlu ditangani melalui mekanisme yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
Malam tadi, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan secara rasmi berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Pengumuman itu dibuat, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada malam tadi.
Pada masa yang sama, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka, sebentar tadi.
Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.