Oleh : Mansur Md Noor

Ketua Pembangkang, Dato Sri Hamzah Zainuddin menggariskan tiga teras dalam agenda Konsensus Nasional Baharu. Tiga teras itu adalah matlamat bersama, kemakmuran bersama dan keprihatinan dalam tadbir urus kerajaan.
Matlamat bersama itu mesti dipersetujui kesemua rakyat Malaysia, kemakmuran hasil kekayaan negara dikongsi bersama dan tatakelola kerajaan mesti jadikan dasar, struktur pentadbiran dan institusi bermatlamatkan keperihatinan rakyat.
Tiga pra-syarat Konsensus Nasional Baharu ini, pertama, ekonomi-pasaran yang akan memakmur negara melalui pertumbuhan ekonomi, kedua terletak dibahu kepimpinan parti-parti politik pelbagai kaum serta aliran dan terutamanya, parti-parti Melayu mesti bersatu untuk bersama membina matlamat bersama dan tatkelola pentadbiran yang baik, adil dan terangkum mesti terbina dan terbentuk bersama jika keperihatinan rakyat matlamatnya.
Pendekatan membangun negara dari atas ke bawah bertunjangkan ekonomi-pasaran, politik dan tatkelola pentadbiran negara adalah rapuh dan mudah tersasar matlamat akhirnya oleh golongan yang berkepentingan.
Di mana-mana pun, pembangunan sebuah negara tidak dapat dipisahkan dari pembinaan bangsanya. Pembinaan bangsa adalah kunci untuk mengukuhkan solidariti sosial, integrasi sosial dan perpaduan dalam kalangan rakyat kepelbagaian golongan sosial dan etnik di negara ini.
Rakyat perlu digemblingkan, tidak kira latar belakang golongan sosial dan etnik mereka, untuk dikukuhkan tali keterikatan koletif bersama, kesetiaan dan patriotisme mereka kepada Malaysia berdasar perkongsian lapisan sejarah dan warisan kebangsaan sepunya.
Tiada ada sebuah negara yang tiada bangsa. Negara bangsa wujud apabila wilayah dan warisan budaya kebangsaan bertindih tindan di antara satu sama lain sepertimana ‘di mana bumi dipijak langit dijunjung’.
Bangsa dalam sesebuah negara terdiri dari satu kumpulan yang menjadi asas kewatanannya yang menjadi pasak dan pentakrif dalam masyarakat kepelbagaian.
Sejauhmana pun perubahan sesebuah negara berlaku hinggakan masyarakatnya sudah menjadi beraneka kepelbagaian disebabkan oleh penjajahan dan migrasi, termasuk dalam dunia sistem kapitalis sedunia, globalisasi dan perubahan teknologi termasuk revolusi digital masa kini, kewatanan sebuah bangsa kekal.
Lapisan sejarah dan warisan kebudayaan bangsa Melayu, Orang Alsi, Bumiputera Sabah dan Sarawak menjadi symbol kebangsaan bangsa Malaysia. Perlembagaan Persekutuan memperakui simbol kebangsaan kewatanan bangsa Malaysia ini.
Oleh itu naratif Malaysian Malaysia berasaskan politik bangsa multikulturalisme di mana bahasa, budaya, agama setiap kumpulan etnik disetarakan secara rasmi kedudukannya pasti memecah-belah masyarakat kepelbagaian yang sudah diintegrasikan.
Dalam kehidupan rakyat Malaysia kepelbagaian etnik, bahasa, budaya dan agama tidak menafikan Bahasa Melayu, budaya Melayu, agama Islam dan sistem sosio-politik kesultanan Melayu sebagai simbol kebangsaan bangsa Malaysia.
Oleh itu dalam kehidupan harian, anggota-anggota masyarakat Malaysia memiliki lapisan identiti dan maruah diri berasakan etnik, agama, budaya masing-masing dan terunggul di bawah identiti payung kewatanan bangsa Malaysia.
Ini telah membenarkan mereka hidup di perumahan sama, berniaga, berkerja, belajar hingga ke universiti, berekreasi dan bersukan, membeli-belah, berpolitik bersama dll dalam suasana harmoni dan bersatupadu dalam kehidupan yang sejahtera.
Bermain politik berasakan satu-satu kumpulan etnik dan masalah satu kumpulan dan bukan agenda nasional dan ditangani bersama adatnya membawa perpecahan dan konflik berpanjangan dalam negara tanpa kesudahan.
Identiti nasional bangsa Malaysia kini sudah dipersetujui bersama di mana kewatanan bangsa Melayu menjadi asas bangsa Malaya dan kewarganegaraan diberikan kepada komuniti Cina dan India taat setia dan patriotisme kepada Malaya dan memutuskan politik negara asal mereka.
Konsensus Nasional Baharu yang tergabung bersatu padu komponen pembangunan negara dan pembinaan bangsa kebangsaan akan menjamin masa depan Malaysia bukan sahaja harmoni dan aman damai tetapi maju.
Perancangan dan pelaksanaan gagasan Konsensus Nasional Baharu ini dalam kerangka membangun dan membina negara bangsa Malaysia di mana solidariti nasional mengikat hati kita bersama dan berkongsi kemakmuran bersama.
Konsensus Nasional Baharu perlu gemblingkan bersama suara-suara akar umbi rakyat yang sudah terbina mikro-solidariti dalam kehidupan masyarakat kepelbagaian mereka sebagai satu agenda dari bawah ke atas dan bukan dari atas ke bawah seperti diwacanakan ini.
Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.