
KUALA LUMPUR, 11 Jul 25 – Seketariat Pertahan Sistem Kehakiman membatalkan resolusinya sebelum ini yang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti susulan konflik kepentingan dalam isu pelantikan hakim.
Anwar sebaliknya perlu meletak jawatan serta merta atas konflik kepentingan tersebut yang menurutnya tidak lagi boleh dipertahankan.
“Resolusi sebelum ini yang meminta perdana menteri untuk mengambil cuti dari jawatan perdana menteri sehingga kes peribadinya selesai di mahkamah tidak lagi terpakai dan resolusi terkini sekretariat adalah perdana menteri mesti meletakkan jawatan serta merta atas konflik kepentingan dalam pelantikan hakim-hakim yang tidak dapat dipertahankan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Selain itu, seketariat juga merafak sembah memohon agar Yang di-Pertuan Agong, menurut budi bicara di bawah Perkara 40(2)(c) Perlembagaan Persekutuan, memperkenankan untuk memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, serta tindakan-tindakan yang wajar diambil dalam mesyuarat tersebut.
Sekretariat juga menyatakan permohonan kekebalan yang diminta oleh perdana menteri adalah tidak berperlembagaan.
“Ianya melebihi keistimewaan yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu. Kekebalan sebegini tidak langsung wujud dalam Perlembagaan mahupun undang-undang negara.
“Menurut Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Agong dalam budi bicaranya tanpa nasihat perdana menteri memanggil Majlis Raja-Raja apabila hak-hak keistimewaan baginda-baginda tergugat,” kata seketariat itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.