
KUALA LUMPUR | 9 Apr 26 – UMNO didakwa masih terperangkap dalam budaya dalaman yang menutup ruang kritikan jujur, sekali gus menjadi punca utama parti itu terus tersasar daripada realiti politik semasa.
Ahli Muafakat Nasional, Khairuddin Abu Hassan, dalam kenyataan menyifatkan kemerosotan UMNO hari ini berpunca daripada kehadiran kelompok “penjilat membuta tuli” yang enggan menerima hakikat serta mempertahankan kepimpinan walau dalam keadaan yang jelas bermasalah.
Menurut beliau, kewujudan kelompok sedemikian telah merosakkan keupayaan parti untuk melakukan muhasabah, apabila suara yang sepatutnya menegur digantikan dengan budaya mengiyakan segala keputusan.
“Kalangan ini tidak berani bercakap benar dan tidak mempunyai iltizam untuk menyedarkan parti,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan tersebut menjadikan UMNO semakin jauh daripada sentimen sebenar rakyat.
Khairuddin turut menolak naratif berulang yang menyalahkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai punca kejatuhan UMNO, sebaliknya menegaskan bahawa kekalahan bersejarah parti itu pada PRU14 adalah hasil penolakan pengundi secara menyeluruh.
Dalam sistem demokrasi, katanya, keputusan pilihan raya ditentukan oleh rakyat, bukan individu. Justeru, usaha meletakkan kesalahan kepada satu tokoh dilihat sebagai cubaan mengelak daripada berdepan punca sebenar.
Beliau juga mengingatkan bahawa isu kleptokrasi yang pernah membelenggu UMNO masih menjadi beban persepsi yang belum diselesaikan sepenuhnya, terutama apabila masih wujud kecenderungan mempertahankan tokoh-tokoh lama tanpa penilaian kritikal.
“Apabila pemimpin terus hidup dalam penafian, mereka bukan sahaja gagal belajar daripada sejarah, malah mengulangi kesilapan yang sama,” ujarnya.
Dalam masa sama, Khairuddin menggambarkan Tun Mahathir sebagai seorang pemimpin yang telah lama memberi peringatan kepada UMNO agar tidak tersasar, namun nasihat tersebut tidak diendahkan.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan sebenar seseorang pemimpin tidak terletak pada jawatan atau parti, tetapi pada kepercayaan rakyat—sesuatu yang menurutnya tidak boleh dipaksa atau dimanipulasi.
Terdahulu, media melaporkan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai sebuah parti politik orang Melayu yang utuh sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946, berpandukan perlembagaan dan peraturan yang jelas buat seluruh ahlinya.
Menurut beliau, individu yang sebenarnya tersasar dan menyasar adalah pemimpin seperti Dr Mahathir sendiri, yang didakwa sanggup melakukan apa sahaja demi mengejar kuasa.
Mahathir baru-baru ini tampil menjelaskan polemik lama berhubung dakwaan beliau menjadi punca perpecahan orang Melayu, dengan menegaskan bahawa akar sebenar krisis itu berpunca daripada perubahan hala tuju UMNO sendiri.
Menurut negarawan itu, keputusannya meninggalkan UMNO bukan tindakan memecah-belahkan, sebaliknya satu langkah prinsip selepas parti tersebut didakwa menyimpang daripada perjuangan asal. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.