Tiada Mandat Rakyat, Tetapi Mahu Ajar Ahli Parlimen Pilih Ketua Pembangkang

Kedudukan Ketua Pembangkang di Parlimen ditentukan oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sendiri yang mempunyai locus standi sebagai wakil rakyat, bukannya diputuskan oleh sesebuah parti, presiden parti atau individu yang langsung tidak mempunyai kedudukan dalam Dewan Rakyat.

Justeru, timbul persoalan besar mengenai tindakan Tun Faisal Ismail Aziz yang terus mempersoalkan kedudukan Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang sedangkan beliau sendiri bukan Ahli Parlimen, bukan Ahli Dewan Undangan Negeri dan tidak mempunyai sebarang kedudukan rasmi dalam Parlimen.

Sepatutnya Tun Faisal memberi tumpuan kepada keadaan dalaman BERSATU yang kini semakin bercelaru dan dilihat ibarat “reban ayam menunggu roboh”. Parti itu ketika ini sibuk mengeluarkan surat pemecatan dan penggantungan ahli termasuk melibatkan 13 Ahli Parlimen serta beberapa Ketua Bahagian yang dilihat cenderung menyokong Hamzah.

Keadaan itu menunjukkan BERSATU sendiri sedang berdepan krisis keyakinan yang serius, malah ramai pemerhati politik melihat hanya tinggal segelintir Ahli Parlimen yang benar-benar kekal bersama kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Menjelang mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, tidak mustahil BERSATU akan semakin terpinggir apabila beberapa parti baharu dikatakan bakal menyertai gabungan itu.

Sebab itu kebelakangan ini BERSATU dilihat semakin agresif mengambil tindakan disiplin terhadap ahli yang tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti. Hakikatnya, kepimpinan BERSATU dipercayai sudah menyedari gelombang ini sejak pelancaran Program RESET pada 14 Februari lalu, namun cuba bertahan bagi mengelakkan parti dilihat terlalu lemah di mata rakyat.

Jika benar majoriti Ahli Parlimen dan ADUN masih menyokong kepimpinan sedia ada, persoalannya kenapa mereka tidak keluar parti lebih awal selepas Program RESET dilancarkan?

Jawapannya mudah — Akta Anti Lompat Parti menghalang seseorang Ahli Parlimen atau ADUN meninggalkan parti sesuka hati tanpa kehilangan kerusi. Sebab itu ramai memilih menunggu tindakan pemecatan daripada parti sendiri.

Malah, jika Tun Faisal benar-benar memahami undang-undang dan prosedur Parlimen, beliau sepatutnya menggesa Ahli-Ahli Parlimen pembangkang membawa usul rasmi kepada Speaker dalam sidang Parlimen Jun nanti untuk menukar Ketua Pembangkang.

Itulah saluran yang betul dan berperaturan, bukannya sekadar membuat kenyataan di luar Dewan serta mendesak orang lain meletakkan jawatan sedangkan diri sendiri tidak mempunyai locus standi dalam menentukan kedudukan tersebut.

Tindakan itu hanya memperlihatkan keterujaan berpolitik tanpa memahami asas undang-undang serta proses Parlimen yang sebenar.

Norsahar Ahmad, Penggerak RESET Bahagian Sepanggar

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Wawancara : Menggalang Masa Depan PN

Tawaran segar ialah gagasan yang bersifat semasa dan mendepani masa depan, Contohnya, Konsensus Nasional Baru. Gagasan ini telah dibahaskan, termasuk di Parlimen. Tawaran PN kena dijelaskan awal. Tak boleh tunggu manifesto semasa PRU.
Read More

Pembaikan Pilihan Raya Ke Arah Demokrasi Matang

Pembaikan pilihan raya dan pematangan demokrasi mustahak untuk semua rakyat. Ini termasuk golongan minoriti, OKU, pemilih Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung, pemilih Semenanjung yang menetap di Sabah dan Sarawak, dan pemilih di luar negara.
Read More
Total
0
Share