
KUALA LUMPUR, 17 DIS 25 — Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan Che Gubard, mendedahkan bahawa Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, telah menunjukkan kepadanya bukti berkaitan dakwaan kononnya beliau ke Thailand untuk bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seperti yang tular baru-baru ini.
Menurutnya, penafian itu diperoleh hasil pertemuan beliau sendiri dengan Hamzah di pejabat pemimpin Bersatu tersebut selepas tersebarnya spekulasi berkenaan.
Tambah beliau, dalam pertemuan tersebut, Hamzah telah meminta kakitangannya mengambil pasport sebagai bukti untuk menafikan dakwaan perjalanan ke Thailand di mana semakan terhadap pasport berkenaan membuktikan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan bersifat fitnah.
“Dia suruh staff dia ambil passport dan ternyata apa yang disebarkan itu fitnah,” katanya.
Che Gubard turut mendakwa, fitnah tersebut disebarkan oleh pihak yang sama pernah mengugutnya sebelum ini, sambil menyifatkan serangan dalaman parti lebih rancak berbanding usaha menentang kerajaan.
Dalam status facebook yang sama, Che Gubard berkata, Hamzah turut menjelaskan kepadanya kronologi peristiwa yang berlaku sejak pemilihan Ketua Pembangkang sehingga ke situasi semasa, yang menurutnya memberi gambaran lebih jelas mengenai punca ketegangan dalaman parti.
“Akhirnya Hamzah terangkan pada aku dan kawan kawan yang ada sekali kronologi apa jadi sejak pemilihan ketua pembangkang sampai sekarang dan aku mula faham kenapa semua ini jadi. Katanya.
Pendedahan itu sekali gus menafikan spekulasi yang berlegar di media sosial dan menimbulkan persoalan mengenai kewujudan kempen fitnah terancang yang berpotensi melemahkan kepimpinan serta kestabilan dalaman Bersatu menjelang cabaran politik yang lebih besar.
Dalam pertemuan tersebut, Che Gubard turut menjelaskan sebab dan tujuan protes jalan kakinya kepada Hamzah.
“Hamzah kata dia dengar aku protest sampai jalan kaki, tapi dia tak nak dengar dari orang maka kerana itu dia panggil aku sendiri. Ujar Che Gubard. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.