
KUALA LUMPUR, 4 NOV 25 — Bersatu Ampang sebulat suara memutuskan menarik balik sokongan terhadap Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Setiausaha Bahagian Bersatu Ampang, Daing Mohamad Daing Makati.
Bahagian itu juga mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat dengan segera demi memulihkan perpaduan serta keyakinan ahli terhadap masa depan parti.
“Satu pelan transisi kepemimpinan dilaksanakan dengan tertib dan inklusif bagi memastikan Bersatu kekal kukuh dan berdaya saing menjelang pilihan raya akan datang,” katanya, dalam satu kenyataan.
Keputusan itu katanya dicapai selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Bersatu Ampang berlangsung pada 28 Okt lalu, antara lain untuk membincangkan secara terbuka dan mendalam berkaitan perkembangan mutakhir yang membabitkan hala tuju dan kestabilan dalaman parti.
“Keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Bahagian Ampang selepas mengambil kira pandangan dan aspirasi ahli di peringkat akar umbi yang mengharapkan perubahan demi kelangsungan perjuangan parti yang dicintai,” katanya, dalam kenyataan itu.
Krisis antara setiausaha agung dan ketua penerangan dengan sebahagian besar kepimpinan di peringkat bahagian di seluruh negara menjejaskan parti, katanya.
“Menginsafi kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya presiden, dalam menangani dan menasihati kedua-dua pemimpin itu untuk memperkukuh hubungan dalaman parti sudah membawa kepada perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan akar umbi serta kepimpinan bahagian,” katanya.
Bersatu sebelum ini memecat Ketua Bersatu Ampang Mohd Isa Mohd Saidi bersama lima lagi ketua bahagian lain dalam isu membabitkan akuan bersumpah (SD) yang didakwa berkaitan dengan usaha mendesak pengunduran presiden. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.