
KUALA LUMPUR, 8 NOV 25 – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari membangkitkan kebimbangan terhadap dasar terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang memperkenalkan konsep “dua guru satu kelas”, menegaskan bahawa ia lebih menyerupai eksperimen sosial daripada reformasi pendidikan.
Menurut Fadhli, dasar ini dilaksanakan ketika negara masih kekurangan lebih 20,000 guru, banyak sekolah mengalami kebocoran, meja patah, dan kelas sesak sehingga 40 murid satu bilik.
“Nak selesaikan masalah, tapi tambah beban berganda,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa di seluruh dunia, co-teaching biasanya digunakan untuk membantu murid berkeperluan khas seperti autisme dan disleksia. Namun di Malaysia, dasar ini dilihat diberikan kepada semua murid, kononnya sebagai reformasi, tetapi realitinya sukar dilaksanakan.
“Logistik mustahil, bajet tidak cukup, dan tenaga pengajar pun belum wujud,” kata Fadhli.
Beliau turut menekankan bahawa KPM belum menyediakan garis panduan jelas, dan guru masih keliru mengenai pelaksanaan dasar baharu ini.
Laporan Ketua Audit Negara terbaru mendedahkan bahawa 46 projek KPM terbengkalai, menimbulkan persoalan tentang kemampuan kementerian melaksanakan dasar yang memerlukan puluhan ribu guru tambahan serta latihan besar-besaran.
Persatuan Guru-Guru (NUTP) juga dilaporkan menyatakan kebimbangan mereka terhadap dasar ini, menegaskan bahawa guru masih kekurangan panduan praktikal dan persiapan untuk menghadapi perubahan tersebut.
Fadhli menyuarakan rasa bimbang bahawa Malaysia bukan sedang menuju reformasi pendidikan sebenar, tetapi terjebak dalam eksperimen sosial versi kementerian sendiri, yang berisiko membebankan guru dan murid.
Beliau menuntut agar KPM menilai semula dasar ini, memberi panduan jelas, dan menyelesaikan masalah asas sistem pendidikan negara sebelum memperkenalkan inisiatif yang lebih kompleks dan berisiko.
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan akan memulakan kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ bersama dua guru dalam satu kelas bermula sesi Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, kaedah itu adalah bagi mencapai keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.