Pakar: Jika Prosedur Tidak Dipatuhi, Pembubaran DUN Negeri Sembilan Boleh Terbatal

KUALA LUMPUR | 8 Jun 2026 – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diumumkan minggu lalu berpotensi menimbulkan implikasi perlembagaan sekiranya prosedur yang ditetapkan tidak dipatuhi sepenuhnya, kata seorang pakar perlembagaan.

Menurut laporan Berita Harian, Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan bahawa keabsahan pembubaran DUN Negeri Sembilan boleh dipersoalkan jika perkenan yang diperoleh tidak memenuhi kehendak perlembagaan negeri.

Beliau menjelaskan bahawa dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan, kuasa membubarkan DUN bukan terletak kepada Yang di-Pertuan Besar semata-mata, sebaliknya berada di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah Negeri Sembilan yang merangkumi Yang di-Pertuan Besar bersama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Pembubaran DUN adalah atas nama Raja Pemerintah, bukan atas nama Yang di-Pertuan Besar yang bertindak secara unilateral,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Wan Ahmad Fauzi berkata, isu itu menjadi lebih signifikan berikutan polemik yang sedang berlaku membabitkan institusi adat dan kedudukan Raja Pemerintah Negeri Sembilan, termasuk dakwaan mengenai penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

Menurut beliau, sebarang pertikaian berkaitan kedudukan Raja Pemerintah boleh memberi kesan langsung terhadap keabsahan keputusan membubarkan DUN, sekali gus membuka ruang kepada cabaran dari sudut perlembagaan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan perkenan Raja Pemerintah Negeri Sembilan diperoleh mengikut peruntukan Perkara 28 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan sebelum meneruskan proses pilihan raya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi mencadangkan tarikh 10 Jun 2026 dijadikan titik rujukan yang lebih selamat bagi menentukan kedudukan pembubaran DUN kerana ia merupakan tarikh selepas genap enam bulan daripada persidangan terakhir DUN yang berlangsung pada 11 Disember 2025.

“Jika mahu selamat, perlu dikira dari 10 Jun bagi mengelakkan isu keabsahan pembubaran DUN,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN negeri itu selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Dalam pada itu, Peguam kanan, Haniff Khatri turut membangkitkan persoalan yang sama berkaitan merit pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya melibatkan isu proses yang berlaku dalam tempoh berlakunya pertikaian tersebut.

Menurut beliau, apabila terdapat pertikaian mengenai kedudukan institusi diraja Negeri Sembilan sebelum pembubaran DUN, perkara itu perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang persoalan selepas pilihan raya.

“Isu sekarang ialah adakah pembubaran Dewan Undangan Negeri Sembilan yang diumumkan itu sah atau tidak, dan bagaimana hendak menangani perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, pihak Undang Yang Empat dan Tengku Besar Tampin dilaporkan mengemukakan bantahan rasmi terhadap keputusan pembubaran DUN yang diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada 4 Jun lalu.

Bantahan tersebut dibuat atas alasan dakwaan berlaku pelanggaran terhadap peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, termasuk Artikel 56(2), Artikel 38(4), serta Artikel 28(1) dan (2). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share