
KUALA LUMPUR | 2 Mac 26 — Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Kepong semalam, mengumumkan peletakan jawatan secara majoriti, keluar parti dan pembubaran rasmi jawatankuasa bahagian berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan media yang ditandatangani Ketua Bahagian Kepong, Ahmad Nizar Mohamed Sani, keputusan tersebut dibuat selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti.
Menurut kenyataan itu, antara sebab utama tindakan drastik berkenaan ialah kekecewaan terhadap Presiden parti yang didakwa membiarkan kemelut dalaman berlarutan tanpa penyelesaian, selain wujud dakwaan bahawa parti sedang digerakkan ke arah menyokong atau bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).
“Kami tidak lagi mahu menjadi sebahagian daripada organisasi yang kepimpinannya sanggup menggadaikan prinsip perjuangan asal demi berpaut pada kuasa,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, Bahagian Ipoh Timur turut mengambil langkah sama dengan membubarkan jawatankuasa bahagian. Perkara tersebut dimaklumkan semalam menerusi applikasi whatsapp. Ini menjadikan sekurang-kurangnya dua bahagian dalam tempoh terdekat mengambil tindakan drastik terhadap kepimpinan pusat.
Berdasarkan rekod, jumlah bahagian yang dibubarkan sehingga kini, mencecah 54 bahagian. Johor terus mencatat jumlah bahagian tertinggi membubarkan bahagian mereka. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.