
KUALA LUMPUR | 24 Sep 26 – Perikatan Nasional (PN) boleh memohon campur tangan mahkamah bagi mencabar perintah penggantungan sementara yang dikenakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla.
Menurut Haniff, berdasarkan kenyataan media Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, gabungan itu menerima dua perkara daripada RoS iaitu arahan tunjuk sebab dalam tempoh 30 hari serta penggantungan sementara segala aktiviti.
Beliau berkata, sekiranya PN berpandangan penggantungan itu akan menjejaskan strategi pilihan raya, termasuk persiapan menghadapi PRN Melaka, gabungan itu boleh segera memohon perintah mahkamah bagi menggantung pelaksanaan penggantungan tersebut sehingga siasatan RoS selesai.
“Kalau mereka percaya segala strategi PRN Melaka akan tergugat dengan perkara ini, maka mereka boleh secara serta-merta pergi ke mahkamah dengan permohonan segera untuk memohon supaya perintah penggantungan itu digantung sementara sehingga selesai siasatan oleh RoS dan sehingga selesai PRN Melaka,” katanya kepada Politiko hari ini.
Haniff berkata, langkah sedemikian mempunyai contoh terdahulu apabila beliau pernah mengendalikan permohonan berkaitan penggantungan terhadap Bersatu pada 2018.
Menurutnya, ketika itu beliau memfailkan permohonan injunksi sementara untuk menggantung pelaksanaan perintah penggantungan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan berubah apabila perintah asal kemudiannya bertukar menjadi perintah pembatalan, menyebabkan permohonan terdahulu perlu ditarik balik.
“Selepas itu Rusli Dahlan memfailkan permohonan dan memang mahkamah telah membenarkan penggantungan perintah pembatalan sehingga selesai PRU14,” katanya.
Haniff berkata, situasi PN ketika ini perlu dibezakan daripada kes terdahulu kerana apa yang diterima PN, berdasarkan kenyataan Takiyuddin, adalah penggantungan sementara dan arahan tunjuk sebab, bukannya pembatalan pendaftaran.
Terdahulu RoS menjelaskan pendaftaran PN belum dibatalkan. Notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 yang dikeluarkan pada 22 September memberi PN ruang untuk menjawab aduan yang dikemukakan Bersatu dalam tempoh ditetapkan. Pada masa sama, RoS mengeluarkan perintah di bawah subseksyen 13(2A) yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.