MB NS: Jangan Ambil Alih Kuasa Negeri, Jangan Lumpuhkan Kerajaan

SEREMBAN | 24 Sep 26- Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Haji Ismail Lasim memberi peringatan supaya mana-mana pihak tidak menggunakan kemelut Institusi Adat dan Raja sebagai alasan untuk mengambil alih bidang kuasa negeri atau melumpuhkan pentadbiran kerajaan yang dipilih rakyat.

Dalam kenyataan media hari ini, Ismail berkata termasuk agensi atau pihak berkuasa di peringkat Persekutuan tidak seharusnya melakukan sebarang tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai mengambil alih fungsi, menekan atau menentukan keputusan dalam perkara yang menurut undang-undang dan adat berada dalam bidang kuasa Negeri Sembilan.

“Prinsip federalisme yang sihat menuntut supaya sempadan kuasa masing-masing dihormati. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berasaskan hormat-menghormati, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukannya tekanan atau percubaan mengatasi bidang kuasa satu sama lain,” katanya.

Beliau pada masa sama menegaskan mandat rakyat Negeri Sembilan yang memberikan kerajaan negeri majoriti lebih dua pertiga perlu dihormati, termasuk tanggungjawab dan kuasa eksekutif untuk mentadbir negeri, melaksanakan dasar serta mengurus jentera pentadbiran.

“Tidak boleh mana-mana pihak menggunakan pertikaian institusi sebagai alasan untuk melumpuhkan pentadbiran negeri, menghalang keputusan eksekutif yang sah ataupun menjejaskan keupayaan Kerajaan Negeri memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Rakyat telah memberikan mandat. Mandat itu wajib dihormati,” katanya.

Ismail berkata menghormati Institusi Raja dan Adat tidak bermakna menafikan fungsi Kerajaan Negeri, manakala menghormati mandat demokratik kerajaan negeri pula tidak bermaksud mengurangkan kemuliaan atau kedudukan Institusi Raja.

Menurutnya, kedua-dua pihak mempunyai kedudukan, fungsi dan bidang kuasa masing-masing di sisi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Beliau turut menegaskan kemelut berkenaan tidak wajar dipermudahkan menjadi pertikaian politik antara Kerajaan Negeri dengan Istana, sebaliknya perlu dilihat sebagai persoalan mengenai proses, bidang kuasa dan tafsiran terhadap tindakan institusi-institusi adat.

“Perkara tersebut hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing,” katanya.

Ismail berkata Kerajaan Negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian berhubung adat dan Institusi Raja, malah akan menghormati apa jua keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa.

Pendirian itu dibuat ketika kemelut berkaitan Institusi Adat dan Raja Negeri Sembilan terus menjadi pertikaian melibatkan persoalan bidang kuasa kerajaan negeri, institusi adat serta pihak Persekutuan.

Ismail menegaskan kerajaan negeri akan terus mentadbir negeri, menjaga kepentingan rakyat dan mempertahankan keluhuran undang-undang, sambil menolak usaha menjadikan adat sebagai gelanggang politik.

Krisis Adat di Negeri Sembilan semakin sulit apabila pelbagai pihak mula mempertikaikan langkah kerajaan negeri yang mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share