
KUALA LUMPUR | 5 Mac 26 – Gabungan Rakyat Anti Pencerobohan dan Rumah Anutan Haram (GARAH) menegaskan bahawa sebarang himpunan aman berkaitan isu rumah anutan adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar dihalang oleh pihak berkuasa.
Wakil GARAH, Haniff Khatri Abdulla berkata bahawa hak berhimpun secara aman adalah dijamin di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang perlu dijunjung oleh semua pihak. Hak rakyat untuk berhimpun secara aman adalah sebahagian daripada amalan demokrasi, katanya.
Tambah beliau, himpunan aman yang diadakan secara teratur dan tanpa senjata tidak seharusnya dianggap sebagai satu bentuk provokasi selagi ia tidak melanggar undang-undang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media oleh Sinar Harian bertarikh 4 Mac 2026 yang melaporkan bahawa Polis Pulau Pinang memulakan siasatan terhadap satu hantaran media sosial berkaitan cadangan penganjuran perhimpunan di sebuah kuil Hindu berhampiran Hospital Bukit Mertajam.
Menurut laporan tersebut, Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Siasatan dibuat susulan laporan polis oleh Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut menggesa agar perhimpunan yang dinamakan sebagai “Ops Terjahan Rumah Anutan Haram” dibatalkan, dengan alasan ia berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.
GARAH dalam kenyataannya turut memaklumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mencari penyelesaian berlandaskan undang-undang, @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.