Guru Sebagai Aktivis Masyarakat

Oleh : Saifuddin Abdullah

Pada 31 Mei lalu, saya diundang menjadi salah seorang ahli panel Forum Pendidikan Melayu bertajuk “Dasar Pendidikan dan Pembinaan Negara Bangsa: Tepatkah Hala Tuju Malaysia?” di UKM, Bangi. Ia anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

Keseluruhan proses pembinaan bangsa mesti dilaksanakan secara bersepadu. Tidak memadai sekadar dengan pendidikan bersepadu sahaja.

Ia memerlukan pembangunan yang komprehensif, termasuk politik, yang juga bersepadu. Ia melibatkan, antara lain, tiga perkara, iaitu reformasi pendidikan, meningkatkan martabat guru dan guru sebagai aktivis masyarakat.

Cadangan Reformasi Pendidikan (CRP). Perikatan Nasional (PN) telah menyiapkan CRP pada Mac 2024. Matlamatnya ialah Memperkasa Negara Berteraskan Ilmu, iaitu penghayatan Budaya Ilmu dan melahirkan ‘insan baik’, bukannya sekadar ‘pekerja baik’.

Ia meliputi falsafah, dasar, undang-undang, ekosistem, kurikulum, TEVT, sumber manusia, mutu dan penghakupayaan pensyarah/guru dan pelajar, teknologi digital, perpaduan, pengantarabangsaan, peranan ibu bapa dan alumni, kerjasama semua pemegang taruh, kewangan dan kemahiran modal insan yang benar-benar memenuhi keperluan negara.

Kerangka CRP meliputi lima komponen, iaitu (1) falsafah dan dasar; (2) aliran, sistem, kurikulum dan kokurikulum; (3) sumber manusia; (4) penghakupayaan dan kebolehpasaran pelajar; dan (5) perundangan dan governans.

Meningkat Martabat Guru. Kerajaan perlu melibatkan guru-guru secara bermakna (dari segi penghakupayaan, perwakilan dan perundingan) dalam struktur dan proses membuat keputusan (peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, KPM), termasuk dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian reformasi pendidikan.

Dalam hal ini, CRP menekankan peri pentingnya perkara-perkara berikut:

– Melahirkan guru-guru pakar bidang (subject matter experts), dalam pelbagai bidang yang bertaraf antarabangsa.

– Memperbanyakkan jumlah dana penyelidikan dalam bidang perguruan.

– Meningkatkan mutu, skim perkhidmatan dan penghakupayaan guru, termasuk menangani isu guru-guru yang bersara awal.

– Meringankan beban tugas guru dengan menambah jumlah guru pembantu dan kerani.

Guru Sebagai Aktivis Masyarakat. Sejarah orang Melayu moden, termasuk politik dan gerakan menuntut kemerdekaan, telah ditandai dengan peranan dan sumbangan amat besar  guru-guru Melayu.

Terdapat dikalangan guru menjuarai gerakan pendidikan, bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Terdapat juga guru yang aktif dalam parti-parti politik Melayu.

Baru-baru ini, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan negara memerlukan reset politik yang baru, iaitu mengambil teladan daripada reset politik besar pada 1970. Beliau mencadangkan Konsensus Nasional Baharu.

Dalam hal ini, guru-guru Melayu perlu meneruskan kesinambungan peranannya sebagai aktivis masyarakat. Guru harus berperanan sebagai pencetus idea, tempat rujukan masyarakat, intelektual awam, advokasi serta penggerak dan pemimpin masyarakat, termasuk dalam politik Melayu.

Dalam sejarah parti-parti politik Melayu, guru-guru memainkan peranan amat mustahak, iaitu dalam kepimpinan dan pengurusan. Sehingga parti tertentu mencapai zaman kemuncaknya dan orang Melayu meraih manfaatnya.

Dulu, dengan peranan besar guru-guru, ia dikenali sebagai ‘parti berjuang’. Tetapi, kini, apabila peranan guru-guru berkurangan, ia dikenali sebagai ‘parti berwang’.

Guru-guru Melayu mampu menentukan nasib dan hala tuju bangsa dan negaranya, bukan sahaja dalam pendidikan, tetapi dalam seluruh kehidupan.

Artikel ini juga telah disiarkan di Sinar Harian 21 Jun 25

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Ketua Portfolio Pendidikan PN dan Ketua Biro Pendidikan BERSATU.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share