Ribuan Beratur Cari Kerja, Bukan Tanda Ekonomi Selesa – Ketua Pembangkang Melaka

MELAKA | 16 Jun 26 — Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menegaskan kehadiran ribuan pencari kerja yang sanggup beratur panjang bagi menghadiri sesi temu duga bukan semestinya mencerminkan keadaan ekonomi rakyat yang semakin baik.

Sebaliknya, beliau berkata, fenomena tersebut perlu dilihat sebagai gambaran realiti pasaran pekerjaan dan cabaran kehidupan rakyat yang sedang berusaha mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri yang menganggap kehadiran ramai pencari kerja sebagai bukti Melaka sebuah “lubuk rezeki” adalah tafsiran yang tidak tepat terhadap keadaan sebenar rakyat.

“Rakyat tidak beratur kerana terlalu selesa dengan keadaan ekonomi mereka. Rakyat beratur kerana mencari pekerjaan yang mampu menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohd Yadzil mempersoalkan mengapa tawaran hanya sekitar 300 hingga 500 peluang pekerjaan mampu menarik kehadiran ribuan orang sekiranya keadaan ekonomi rakyat benar-benar berada dalam keadaan selesa.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai faktor gaji, kualiti pekerjaan serta kemampuan pendapatan semasa untuk menampung peningkatan kos kehidupan.

“Apakah gaji yang ada hari ini benar-benar mampu menyara keluarga? Berapa ramai graduan yang bekerja di bawah tahap kelayakan mereka dan berapa ramai pula yang terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk menampung perbelanjaan bulanan?” katanya.

Menurut beliau, kadar pengangguran yang rendah tidak seharusnya digunakan untuk menafikan keresahan rakyat kerana isu ekonomi turut melibatkan aspek pekerjaan berkualiti dan taraf hidup.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sebelum ini mengakui tekanan kos operasi yang dihadapi peniaga kecil sehingga beberapa insentif diperkenalkan bagi membantu golongan tersebut.

“Kerajaan yang matang akan melihat ribuan pencari kerja sebagai maklum balas terhadap keadaan pasaran buruh, bukannya sekadar peluang untuk berbangga dengan statistik,” katanya.

Dr Mohd Yadzil menegaskan kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada penyediaan lebih banyak pekerjaan berkualiti, gaji yang setimpal serta dasar ekonomi yang benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat Melaka.

Terdahulu, orang ramai beratur panjang sejak awal pagi bagi menghadiri sesi temu duga terbuka syarikat semikonduktor dan elektronik dari Jerman sehingga tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share