Hamzah Zahir 3 Teras RESET Demi Pulihkan Negara

KUALA LUMPUR | 8 Mei 26 – Datuk Seri Hamzah Zainudin menggariskan tiga teras utama sebagai asas kepada gerakan RESET yang disifatkan sebagai gerakan perubahan bersifat nasional, bukan sekadar politik kepartian.

Menurut beliau, RESET dibina atas kerangka Matlamat Bersama, Kemakmuran Bersama serta Tatakelola Adil & Berperikemanusiaan yang menjadi tunjang kepada usaha pembaharuan negara.

“RESET adalah calling movement. Ia merupakan seruan kepada seluruh rakyat untuk bangkit melakukan perubahan,” katanya.

Hamzah menjelaskan bahawa teras pertama, Matlamat Bersama, merujuk kepada keperluan menyatukan hala tuju negara agar semua dasar dan tindakan kerajaan kembali berasaskan kepentingan rakyat secara menyeluruh, bukan kelompok tertentu.

Teras kedua, Kemakmuran Bersama, menurut beliau, menekankan keperluan memastikan hasil pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh lapisan masyarakat, tanpa jurang yang melebar antara bandar dan luar bandar.

Manakala teras ketiga, Tatakelola Adil & Berperikemanusiaan, menjadi asas kepada tuntutan supaya sistem pentadbiran negara lebih telus, berintegriti serta mengambil kira aspek kemanusiaan dalam setiap keputusan dasar.

Hamzah berkata, ketiga-tiga teras ini penting bagi membina semula keyakinan rakyat, memulihkan maruah negara serta memastikan keadilan dapat dirasai oleh semua.

“RESET penting kerana kita mahukan pembaharuan menyeluruh – bagi membina semula keyakinan rakyat, bagi memulihkan kembali maruah negara, dan bagi memastikan keadilan dapat diberi serta dirasai semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa RESET bukan gerakan eksklusif mana-mana parti politik, sebaliknya sebuah gerakan rakyat yang menjadi asas kepada “Konsensus Nasional Baharu” berteraskan nilai dan integriti.

Gerakan RESET mula dilaungkan sejurus selepas Hamzah dipecat sebagai Timbalan Presiden BERSATU Februari lalu. Gerakan ini dikatakan untuk memulihkan kembali urustadbir negara dan politik yang ketika ini dilihat sebagai toksik hingga menjejeskan kestabilan negera. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share