
KUALA LUMPUR | 8 Mei 26 — Gagasan “Konsensus Nasional Baru” yang dibawa Timbalan Presiden Hamzah Zainudin dilihat cuba mengangkat satu naratif politik baharu yang lebih besar daripada sekadar persaingan parti, sebaliknya memfokuskan kepada pembinaan semula hala tuju negara pasca ketidakstabilan politik.
Menerusi penulisan Saifuddin Abdullah, konsep itu digambarkan sebagai usaha membentuk “Malaysia yang diidami” melalui prinsip “bersetuju untuk bersetuju” terhadap perkara asas negara, dan “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam soal cabang politik.
Antara aspek paling kuat yang muncul ialah usaha membina “negara maju yang bersepadu” berasaskan kekuatan rakyat sendiri, bukannya bergantung kepada tenaga atau pengaruh asing.
Naratif ini dilihat selari dengan sentimen rakyat yang semakin resah terhadap isu ekonomi, peluang pekerjaan dan dominasi kepentingan luar.
Lebih menarik, dokumen itu turut menyentuh soal pembentukan “konfigurasi politik yang stabil”, dengan penekanan bahawa kerajaan perlu mendapat sokongan majoriti kaum majoriti dan juga majoriti kaum minoriti. Pendekatan itu dilihat sebagai cubaan membawa formula politik rentas kaum yang lebih stabil selepas era politik berpecah dan kerajaan campuran yang rapuh.
Dokumen tersebut juga mengangkat agenda lebih besar apabila menyebut keperluan meletakkan Malaysia sebagai kuasa penentu di pentas dunia melalui pembinaan “new axis of power” pasca konflik Iran. Ini memberi isyarat bahawa Konsensus Nasional Baru bukan hanya agenda domestik, tetapi cuba meletakkan Malaysia dalam kerangka geopolitik baharu dunia Islam dan Asia.
Dalam masa sama, fokus terhadap pembasmian rasuah, reformasi pendidikan, pengukuhan institusi serta pengagihan hasil pembangunan kepada seluruh rakyat menunjukkan gagasan itu cuba membezakan dirinya daripada slogan politik biasa yang sering dilihat gagal diterjemahkan dalam bentuk dasar.
Secara politiknya, Konsensus Nasional Baru boleh dibaca sebagai percubaan Hamzah Zainudin membina identiti kepimpinan nasional yang lebih besar, daripada sekadar tokoh pembangkang kepada figura yang menawarkan kerangka pemerintahan alternatif untuk Malaysia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.