
KUALA LUMPUR, 10 NOV 25 – Institusi pengajian tinggi (IPT) tidak seharusnya dijadikan gelanggang politik kerana fungsinya sebagai pusat ilmu, bukan medan untuk menabur fitnah dan memecahbelahkan masyarakat, titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah.
Baginda bertitah, penyalahgunaan ilmu untuk kepentingan politik akan merosakkan kepercayaan rakyat serta menjejaskan masa depan generasi akan datang.
“Andai ilmu dijadikan alat untuk berpolitik dan fitnah, perkara itu akan memusnahkan kepercayaan rakyat dan merencatkan masa depan generasi akan datang.
“Beta menyeru agar semua pihak hendaklah bersatu dalam memastikan institusi pengajian tinggi di Malaysia berintegriti dan berpaksikan kebenaran,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-38 di Dewan Mu’adzam Shah.
Sultan Sallehuddin yang juga Tuanku Canselor UUM menegaskan, universiti perlu menjadi jambatan perpaduan dan bukan tembok perpecahan.
“Universiti adalah tempat melahirkan insan berilmu dan berakhlak mulia. Justeru, segala bentuk ekstremisme, fitnah dan permusuhan harus dijauhkan agar ilmu terus menjadi sumber kebaikan kepada umat dan negara,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian UUM yang kini berada di tangga ke-491 terbaik dunia, membuktikan keupayaan universiti itu menonjol dalam bidang pendidikan berkualiti dan inovasi.
Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada 6,832 graduan yang menerima ijazah masing-masing dalam sembilan sesi konvokesyen yang berlangsung mulai hari ini hingga 13 November.
Sultan Sallehuddin turut menasihatkan para graduan agar menggunakan ilmu dengan penuh kebijaksanaan dan menjadikannya sebagai alat untuk membina masyarakat yang harmoni serta bersatu padu.
“Ilmu tanpa nilai dan akhlak akan membawa kepada kehancuran. Gunakan ilmu untuk berkhidmat kepada rakyat, memartabatkan bangsa dan meninggikan nama negara di persada dunia,” titah baginda. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.